Pilih Bahasa

Pembukaan Pusat Serahan Lok Kawi bantu licinkan operasi Pos Malaysia

Oleh Mohd Nazllie Zainul

PUTATAN: Pembukaan Pusat Serahan Lok Kawi, di  sini dilihat banyak membantu proses penghantaran barangan di bawah perkhidmatan Pos Malaysia.

Pengurus Pos Malaysia Sabah dan Labuan, Soimon Sinit berkata, pusat serahan berkenaan mula beroperasi sejak 13 Julai lalu sebagai salah satu usaha melicinkan operasi penghantaran barangan pelanggan.

Pengurus Pos Malaysia Sabah dan Labuan, Soimon Sinit bersama Ketua Operasi Pos Laju Sabah, Rosliah Hashim serta kakitangan Pos Malaysia mengibarkan bendera pada Majlis Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Hari Merdeka di Pusat Serahan Lok Kawi, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita mampu menghantar barang kepunyaan  pelanggan 40 minit lebih cepat berbanding ketika  lokasi pusat serahan sebelum ini yang terletak di tengah bandar raya Kota Kinabalu.

“Ia bukan sahaja membantu mempercepatkan proses penghantaran di sesuatu kawasan sahaja tetapi meliputi seluruh Sabah.

“Pusat serahan baharu ini penting kerana kita boleh menampung lebih banyak barangan pelanggan khususnya sewaktu banyak platform e dagang menawarkan pelbagai promosi,” katanya serahan item menerusi Pusat Serahan Lok Kawi meliputi sehingga Bongawan, Membakut, Penampang, Putatan dan Kapayan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan Majlis Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Hari Merdeka di Pusat Serahan Lok Kawi, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Operasi Pos Laju Sabah, Rosliah Hashim.

Pengurus Pos Malaysia Sabah dan Labuan, Soimon Sinit bersama Ketua Operasi Pos Laju Sabah, Rosliah Hashim serta kakitangan Pos Malaysia bergambar pada Majlis Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Hari Merdeka di Pusat Serahan Lok Kawi, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Disambut serentak di Pejabat Pos Kota Kinabalu, acara terbabit disertai kira-kira 200 kakitangan Pos Malaysia bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan. 

Soimon berkata, program terbabit adalah bertujuan untuk menunjukkan semangat patriotism dan cintakan tanah air dalam kalangan kakitangan Pos Malaysia.

Sementara itu, Soimon menyatakan pihaknya sudah melantik kira-kira 230 ejen penghantar separuh masa untuk memudahkan penghantaran barangan.

“Skim ini bermula pada Mei lalu dan dijangka akan ditamatkan Disember nanti.

Kakitangan Pos Malaysia bersama ejen penghantar separuh masa mengibarkan bendera pada Majlis Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Hari Merdeka di Pusat Serahan Lok Kawi, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Bagaimanapun, inisiatif ini akan digunakan jika terdapat sebarang keperluan kerana jumlah barangan yang terlalu banyak seperti sewaktu Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) mengakibatkan kita terpaksa menggunakan ejen separuh masa bagi mempercepatkan serahan,” katanya. -SabahNewsToday