Pilih Bahasa

Pemegang IMM13 didenda RM10,000 atau 6 bulan penjara miliki barang kawalan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang pemegang IMM13 didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu 450 liter minyak petrol, Selasa lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda dan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tujuan pengusiran selepas menjalani hukuman penjara.

Sabtulah Malali (tengah) semasa ditangkap. Gambar Fail SNT

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Sabtulah Malali, 68, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak petrol sebanyak 450 liter dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah.

Tertuduh melakukan kesalahan melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusniaga barang kawalan tanpa sesuatu lesen yang sah.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di dalam perahu berwarna oren, di kawasan laut Pulau Gaya, Semporna, pada 16 Julai, kira-kira pukul 6 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 22(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Nurun Nazifah Muhammad Iyen Atim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Sabah News Today melaporkan Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 450 liter minyak petrol yang cuba di seludup ke negara Filipina melalui perairan Pulau Bodgaya Semporna, Selasa lalu.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata hasil maklumat daripada Unit Risikan Marin (URM), pihaknya berjaya memintas perahu yang dinaiki seorang suspek dalam lingkungan usia 60an disyaki cuba seludup keluar minyak petrol terbabit.-SabahNewsToday