Pilih Bahasa

Pemerkasaan wanita dalam sektor awam antara lima resolusi diluluskan dalam konvensyen DAP Wanita Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Konvensyen DAP Wanita Sabah telah meluluskan lima resolusi yang memfokuskan usaha memantapkan dan memperkasakan peranan wanita dalam mencapai sasaran sekurang-kurangnya mempunyai 30 peratus golongan wanita di peringkat pembuat keputusan di sektor awam.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri merangkap Ketua DAP Wanita Sabah, Jane Lasimbang berkata dalam resolusi itu pihaknya menyeru kerajaan negeri untuk membuat pindaan undang-undang berkaitan perkahwinan kanak-kanak.

Dari kiri, Jane Lasimbang, Chong Eng dan Chan Foong Hin dalam sidang media di Luyang. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Kedua, dalam konvensyen kali ini kita juga mahu kerajaan untuk mengambil tindakan serius dalam membendung masalah kemiskinan dalam kalangan wanita di Sabah dan menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak kos rendah.

“Keempat, kita mahu mencapai 30 peratus kuota wanita pembuat keputusan dan kelima kita mahu kerajaan menggiatkan pelaksanaan program kesedaran terhadap keganasan rumahtangga melibatkan golongan wanita di negeri ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dalam konvensyen yang disertai 180 peserta daripada 10 bahagian DAP di Sabah, Jane berkata pihaknya telah mengadakan pemilihan bagi Jawatankuasa Wanita Peringkat Negeri dan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Katanya untuk Jawatankuasa Wanita Peringkat Negeri seramai 15 orang telah dipilih manakala dua lagi dilantik menganggotai jawatankuasa itu.

Selain itu Jane turut mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Wanita, Naib Ketua disandang oleh Norita Sua manakala Setiausaha ialah Datin Christina Yeo.

Sementara itu Pengerusi DAP Wanita Pusat, Chong Eng berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan konvensyen DAP Sabah khususnya dengan penyertaan ramai ahli-ahli wanita parti itu yang memberikan sokongan.

“Banyak peningkatan yang saya lihat dalam konvensyen kali ini. Di Semenanjung belum ada negeri yang membentuk jawatankuasa negeri wanita, tapi Sabah telah berjaya melakukannya.

“Kalau dilihat meskipun wanita mempunyai banyak komitmen namun politik bukan keutamaan, tetapi saya fikir penting bagi wanita untuk mengambil bahagian dalam politik kerana ia akan memberi kesan kepada hidup mereka, peluang dan kesejahteraan keluarga,” katanya Chong Eng yang juga Adun Padang Lalang, Pulau Pinang.

Beliau berkata dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu daripada 681 calon Parlimen yang bertanding seramai 75 adalah wanita dan hanya 32 telah memenangi kerusi tersebut di seluruh negara sekaligus menjadikan 14.4 peratus penyertaan wanita kini dalam Parlimen era kerajaan baharu.

Di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) pula katanya sebanyak 505 kerusi yang dipertandingkan dengan 166 adalah calon wanita daripada 1,646 calon yang bertanding.

“Sebanyak 60 calon wanita telah memenangi pilihan raya itu, jadi secara keseluruhan Pakatan Harapan mempunyai lebih banyak calon wanita daripada Barisan Nasional (BN) iaitu 25.5 peratus manakala BN hanya 22.4 peratus. DAP ada lapan wakil wanita di peringkat Parlimen dan 22 Dun,” katanya.

Chong Eng (duduk lima dari kanan) dan Jannie Lasimbang (duduk empat dari kiri) bersama barisan pemimpin DAP Wanita Sabah yang baharu. Gambar SNT/Ihsan DAP

Barisan Kepimpinan DAP Wanita Sabah
Penggal 2019-2019

  1. Ketua Wanita -Jannie Lasimbang
  2. Naib Ketua – Noorita Sual
  3. Setiausaha – Christina Yeo
  4. Penolong Setiausaha – Kamsi Ahmad
  5. Bendahari – Liling Vung
  6. Setiausaha Organisasi – Clare Taunek
  7. Penolong Setiausaha Organisasi – Yiska Lassan
  8. Setiausaha Publisiti – Liew Ching Yee
  9. Penolong Setiausaha Publisiti – Kimberly Guah Chin Yong
  10. Pengarah Pendidikan Politik – Chin Su Ping @ Apple

AJK Biasa

  1. Stephanie Duanis
  2. Catherine Chu
  3. Chong Mui Thiam
  4. Pan Mei Yuk
  5. Bronica Sikula
  6. Pang Pit San
  7. Fadilah Michael

– SabahNewsToday