Pilih Bahasa

Pemilihan Bersatu berlansung secara harmoni bukti kesepakatan: Faisyal

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Faisyal (tengah) bersama ahli jawatankuasa Bersatu bahagian Kota Kinabalu, Srikandi Bersatu Kota Kinabalu dan Armada Bersatu Kota Kinabalu yang diumum kesemua menang tanda tanding. – Gambar SNT/Ihsan Bersatu Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Pemilihan Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Malaysia Sabah yang berlangsung secara harmoni adalah bukti kesepakatan dan kerjasama dalam organisasi parti yang positif.

Ketua Bersatu Bahagian Kota Kinabalu, Datuk Faisyal Hamdain Deigo memberitahu bahawa ia adalah isyarat kepada simbol kepimpinan parti yang kukuh khasnya dalam perjuangan untuk menyelesaikan sebarang permasalahan yang dihadapi rakyat.

“Organisasi yang kita bentuk dengan suasana dan keadaan harmoni pastinya akan menimbulkan ketenangan dan sifat toleransi sesama ahli jawatankuasa.

“Itu pastinya akan lebih mengeratkan kerjasama serta perlaksanaan kerja dalam organisasi yang lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Faisyal lagi, Bersatu Bahagian Kota Kinabalu akan terus lantang bersuara demi keperluan pembangunan ekonomi serta kepentingan masyarakat di kawasan bandaraya Kota Kinabalu.

Beliau juga turut memberitahu bahawa mesyuarat Bersatu peringkat cawangan akan bermula pada 15 Februari sehingga 29 Mac dan mesyuarat peringkat bahagian pula dijadualkan pada 18 April manakala Perhimpunan Agung Tahunan pada 25 hingga 28 Jun depan.

Faisyal menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian manakala Mohamad Bahrin Abd Karim pula kekal sebagai Timbalan Ketua Bahagian serta Mohd Faizal Datuk Saidi sebagai Naib Ketua Bahagian.

Salmi Sarinoh juga kekal sebagai Ketua Srikandi Bahagian dan Mohd Fakhruz Zaman Datuk Seri Dr Arsit pula sebagai Ketua Armada Bahagian. – SabahNewsToday