Pilih Bahasa

Pemilihan pertama kesemua 26 Bahagian Warisan Sabah berjalan lancar

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Setiausaha Kerja Parti Warisan Sabah (Warisan), Arifin Asgali mengesahkan pemilihan pertama bagi kesemua 26 bahagian parti berkenaan di seluruh Sabah berjalan lancar semalam.

Arifin yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata dalam pemilihan di peringkat bahagian itu seramai 12 calon disahkan pemenang tanpa bertanding.

Bahagian tersebut ialah Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang, Beaufort, Sipitang, Tenom, Labuan, Ranau, Sandakan, Silam, Semporna dan Kalabakan.

Begitupun, terdapat sedikit kekecohan yang berlaku membabitkan pemilihan di peringkat bahagian Tuaran yang menyaksikan Setiausaha Politik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Rakam Sijim dipilih sebagai Ketua Bahagian baharu dalam pertandingan empat penjuru.

Pembantu Menteri Jabatan Ketua Menteri, Arifin Asgali. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Ditanya mengenai rakaman video berkaitan insiden itu yang menyaksikan aksi membaling kerusi, Arifin enggan mengulas kerana belum mendapat laporan penuh daripada pihak pemantau.

“Tiada komen (mengenai kekecohan itu) kerana belum dapat laporan penuh daripada Pemantau.

“Secara keseluruhan pemilihan pertama Warisan kali ini telah selesai bersidang semalam dan berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Sabah News Today hari ini.

Dalam pada itu Timbalan Presiden Warisan merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Datuk Darel Leiking juga tidak bertanding ketua bahagian.

Keputusan mengejutkan turut berlaku apabila tiga wakil rakyat gagal dalam pertandingan merebut jawatan ketua bahagian di kawasan masing-masing iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk VK Liew.

Dua lagi wakil rakyat yang tewas ialah Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar dan Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai. – SabahNewsToday