Pilih Bahasa

PEMILIHAN PKR SABAH BELUM SELESAI

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah masih belum selesai berikutan terdapat tiga lagi bahagian yang akan diteruskan belum dapat disempurnakan hujung minggu ini.

Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew berkata dua bahagian akan dijalankan pemilihan semula manakala satu lagi akan menjalankan pemilihan siri kedua.

Christina Liew. Gambar Fail SNT

“Disebabkan masa yang tidak mengizinkan dan jumlah pengundi yang ramai, kita tangguhkan proses pengundian di Pensiangan dan pemilihan siri kedua akan diteruskan pada 11 Nov ini.

“Manakala pada Sabtu ini, pemilihan semula akan dijalankan di dua bahagian iaitu Keningau dan Tawau kerana terdapat masalah teknikal ketika pemilihan baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi kunjungan hormat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan ALam Sekitar di sini hari ini.

Katanya terdapat undi ragu yang berlaku di semua bahagian namun hanya dua bahagian proses pengundian akan dijalankan.

“Undi ragu yang dikatakan adalah sebagai contoh daripada 1,125 orang pengundi yang datang, 125 undian hilang.

“Ini kerana ketika mereka membuat pemilihan, pengundi tidak menekan butang ‘sah’ untuk menyempurnakan proses undi mereka.

“Jadi, itu adalah undi yang hilang (undi ragu) dan kita tidak dapat mencari semula kerana begitulah sistem e-undi berfungsi,” jelasnya.

Tambahnya perkara itu boleh berlaku juga kerana e-undi yang digunakan sebagai sistem pengundian parti adalah suatu yang baharu dan ramai pengundi tidak tahu menggunakannya. -SabahNewsToday