Pilih Bahasa

Pemilik akaun Grab sebenar buat laporan polis berkaitan kes cabul penumpang

Oleh Junaidi Ladjana

PENAMPANG: Seorang lelaki tampil membuat laporan polis selepas mendakwa nama dan gambar dari akaun pemandu Grab miliknya tular di laman sosial berhubung kes cabul membabitkan seorang penumpang wanita, pada 27 Oktober lalu.

Lelaki itu mendakwa akaun perkhidmatan Grab miliknya digunakan oleh rakannya sejak enam bulan lalu.

Dalam laporan polis yang dibuatnya kelmarin, lelaki terbabit mendakwa tidak terlibat dalam kejadian itu dan berharap nama dan gambar yang ditular dalam media sosial dipadamkan serta-merta.

Dia juga meminta pengguna media sosial supaya berhenti menularkan laporan itu kerana mempengaruhi diri dan keluarganya.

DSP Mohd Haris Ibrahim mengesahkan menerima laporan berkenaan. Gambar Fail SNT

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika dihubungi hari ini mengesahkan pihaknya ada menerima laporan mengenai perkara itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Lelaki itu membuat laporan polis sehari selepas kejadian di Balai Polis Putatan.

“Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Pada Ahad lalu, seorang wanita berusia 23 tahun mendakwa dicabul oleh pemandu Grab ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Putatan.

Wanita itu mendakwa pemandu Grab itu berhenti di hadapan sebuah hotel sebelum menjemputnya untuk berehat di hotel berkenaan.

Suspek turut menyentuh tangan dan betis tanpa kerelaan mangsa sebelum mangsa berjaya melarikan diri dan membuat laporan polis beberapa jam selepas itu. -SabahNewsToday