Pilih Bahasa

Pemilik kapal perlu biayai kos pemulihan terumbu karang di perairan Pulau Kalampunian: Christina

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Christina (tengah) ketika sidang media Tropical Rainforest Run di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meminta pemilik kapal yang terkandas di perairan Pulau Kalampunian menanggung semua kos memulihkan terumbu karang di kawasan berkenaan. 

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew berkata pihaknya melalui Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais mengadakan perbincangan dengan pihak kapal berkenaan mengenai kos membaikpulih tersebut.

“Mereka ada menawarkan sejumlah tertentu untuk pemulihan terumbu karang yang terjejas namun kita merasakan jumlah itu tidak mencukupi bagi pelaksanaan proses ini.

“Saya menyerahkan kepada pengarah untuk melihat tahap kerosakan dan menyatakan kos yang perlu ditanggung pihak kapal. 

“Sabah mempunyai undang-undang ketat berkaitan perkara ini dan mereka sudah melanggar peraturan, oleh itu pihak berkenaan harus membayar ganti rugi,” katanya ketika sidang media Tropical Rainforest Run, di sini hari ini.

Dalam pada itu Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais berkata setakat ini pihaknya sudah mengenalpasti anggaran kawasan terjejas sekitar 3,625 meter persegi.

Jamili berkata pasukan penyelam daripada Taman-Taman Sabah dan Tabung Alam Sedunia (WWF) kini berada di lokasi terbabit untuk meneruskan penilaian tahap kerosakkan.

“Kapal ini juga sudah ditarik ke kawasan yang lebih dalam namun kita tidak membenarkan kapal berkenaan berlayar. Ia akan kekal di sana sehingga siasatan serta proses dokumentasi selesai dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, kapal kargo MV Lewang dipercayai milik sebuah syarikat berdaftar di Sarawak sepanjang 84 meter terkandas di atas terumbu karang lebih kurang lima batu nautika berhampiran Pulau Kalampunian, Kudat yang terletak dalam perairan Taman Tun Mustapha sejak 8 September lalu.

Sementara itu, kawasan perairan terjejas itu kini ditutup kepada orang awam bagi memudahkan kerja siasatan dijalankan selain sudah dipasang pelampung sebagai penanda untuk kawalan serta penilaian kerosakan. -SabahNewsToday