Pilih Bahasa

Pemilik tanah di DUN Kadamaian terima surat tawaran pampasan

KOTA BELUD, 8 April (Bernama) — Seramai 273 pemilik tanah daripada 17 kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian hari ini menerima surat tawaran pampasan bagi Projek Talian Penghantaran 132kv Kota Belud – Ranau dalam satu majlis diadakan di sini.

Surat tawaran pampasan dikeluarkan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah kepada Pejabat Tanah dan Ukur Kota Belud itu disampaikan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Kadamaian kepada pemilik tanah terlibat dalam projek berkenaan.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton, Pengurus Besar Projek Utama Sabah Electricity Sdn Bhd IR John Gomes, Pengurus SESB Kota Belud Norhayati Ben dan wakil Pejabat Tanah Kota Belud Yanah Kabindong.

Berucap pada majlis itu, Ewon berkata, penyerahan surat tawaran pampasan tersebut penting sebagai sebahagian proses kerjasama antara kerajaan, agensi pemantau, kontraktor pelaksana dan para pemilik tanah atau kawasan pertanian terlibat.

Beliau berkata projek talian penghantaran elektrik menerusi Program Bekalan Elektrik Luar Bandar itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 13,000 pengguna di 215 kampung sekitar Kota Belud dan Ranau, namun, hal-hal berkaitan pampasan ke atas pemilikan tanah secara adat (NCR) atau anak negeri (NT) harus diselesaikan sebelum projek besar berkenaan dimulakan atau disiapkan.

Ewon berkata ini bagi mengelak sebarang isu timbul seperti pampasan belum diselesaikan sepanjang pelaksanaan projek terbabit selain memastikan kejadian sama pernah berlaku sebelum ini tidak berulang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan SESB kerana mengambil pendekatan proaktif mengadakan sesi dialog bersama penduduk kampung berhubung kawasan laluan projek talian penghantaran itu memandangkan pihaknya ada menerima surat daripada penduduk menyatakan kebimbangan mengenai pelaksanaan projek berkenaan.

“Saya percaya penduduk kampung boleh merasionalkan keperluan projek untuk jalan luar bandar, bekalan elektrik dan bekalan air luar bandar tetapi kekhuatiran mereka selalunya berkisar kepada hak NCR dan NT mereka serta nilai pampasan. Projek-projek ini sendiri akan memberi manfaat kepada penduduk, tetapi sebaiknya proses komunikasi itu mesti diadakan.

“Saya juga telah meminta supaya agensi pemantau iaitu SESB atau kontraktor pelaksana memaklumkan kepada pengurusan komuniti kampung terlibat apabila mahu melaksanakan kerja-kerja berkaitan supaya dapat memastikan kehamornian kerjasama dan mengelak sebarang kemungkinan salah faham,” katanya.

Projek talian penghantaran melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM150 juta itu diharap akan dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan iaitu pada 14 Mac tahun depan, katanya.

— BERNAMA