Pilih Bahasa

Pemimpin dan ahli PKR perlu jadi perantara kerajaan dengan rakyat: Christina

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Christina (tengah, barisan kedua) bersama-sama penerima sumbangan pada majlis berbuka puasa anjuran PKR Sabah. – Gambar SNT/Ihsan KepKas

KOTA KINABALU: Ketua-ketua cabang dan ahli majlis pimpinan negeri PKR disaran mewujudkan badan sukarela yang boleh menjadi perantara kepada kerajaan menyalurkan peruntukan disediakan kepada golongan sasaran.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi MPN Parti Keadilan Rakyat Sabah, Datuk Christina Liew berkata ia sejajar dengan galakkan kerajaan dan parti supaya pemimpin dan ahli PKR perlu sentiasa turun padang dan membantu golongan kurang berkemampuan di kawasan masing-masing setiap masa.

Christina (tengah) menyerahkan sumbangan peralatan sekolah kepada penghuni Rumah Anak Yatim Assakinah, Lok Kawi dan Nur Taqwa, Kota Belud. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Ini kerana segelintir golongan B40 ini tidak mendapat pendedahan maklumat, justeru pimpinan cabang dan pihak NGO yang dapat membantu mereka.

“Selain itu saya juga mahu perbanyakkan program pendidikan komuniti agar golongan sasaran tidak berasa terpinggir,” katanya ketika berucap sempena majlis berbuka puasa anjuran  PKR Sabah di Dewan Tun Sakaran Tabung Haji di sini semalam.

Christina (tengah) bersama beberapa pemimpin cabang PKR menyerahkan sumbangan kepada penghuni Rumah Anak Yatim Assakinah, Lok Kawi dan Nur Taqwa, Kota Belud. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Dalam majlis itu Christina turut mengagihkan sumbangan kepada 20 penerima daripada Rumah Anak Yatim Assakinah, Lok Kawi dan Nur Taqwa, Kota Belud.

Dalam pada itu beliau berkata, selama 20 tahun menjadi pembangkang dan berjuang dengan penuh dedikasi akhirnya PKR menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri dan parti utama peringkat pusat.

Katanya walaupun manfaat sebagai kerajaan tidak seperti diinginkan tetapi sekurang-kurangnya parti sudah berada dalam kerajaan.

Sehubungan itu beliau mahu pemimpin dan ahli PKR belajar bersama-sama untuk memanfaatkan peluang ketika ini tanpa mengorbankan agenda reformasi dan perubahan yang diperjuangkan selama ini. – SabahNewsToday