Pilih Bahasa

Pemimpin Labuan berikrar pacu Labuan ke arah pembangunan ekonomi lebih pesat

Rozman Isli / Bernama

LABUAN, 8 April (Bernama) – Jawatankuasa Bahagian Parti Warisan Sabah (Warisan) Labuan yang baru ditubuhkan hari ini mengumumkan pelantikan tiga jawatan utama iaitu setiausaha, bendahari dan ketua penerangan.

Usahawan tempatan Rosli Awang Damit dilantik setiausaha; Harold Lim, bendahari dan Salim Abdul Rahman, ketua penerangan, kata pengerusi jawatankuasa Datuk Rozman Isli, yang juga Anggota Parlimen Labuan.

Rosli mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan parti atas kepercayaan yang diberikan kepadanya dan melantik beliau ke jawatan penting itu.

“Selain memastikan bahawa perjuangan parti itu selari dengan dasar parti dan tidak bertentangan dengan undang-undang dan peraturan Pendaftar Pertubuhan, saya akan menyumbang bagi meningkatkan perancangan projek di pulau itu,” katanya.

Lim pula berkata beliau mempunyai tanggungjawab penting sebagai bendahari dan akan memastikan bahawa kewangan bahagian mematuhi peraturan parti.

Salim berkata beliau akan melakukan yang terbaik sebagai ketua Penerangan selaras dengan jangkaan parti.

Rozman berkata jawatankuasa itu bertekad untuk membantu memacu Labuan ke arah pembangunan ekonomi yang lebih pesat sejajar dengan perjuangan parti itu.

Beliau berkata kepercayaan parti dan harapan rakyat “adalah sumber yang memberi dorongan paling kuat bagi kita, dan meletakkan tanggungjawab besar di bahu kita”.

“Warisan, sebagai parti politik bertapak di Sabah, kini menuju ke arah mendapatkan keyakinan rakyat di pulau itu. Barisan baru kepimpinan Warisan Labuan yang menampilkan latar belakang ekonomi yang berbeza akan bekerjasama bagi memastikan rakyat bersatu dan melakukan yang terbaik untuk mengembalikan kegemilangan ekonomi pulau itu dengan sokongan dari Sabah dan kerajaan persekutuan, ” katanya.

Rozman berkata Labuan, yang daripada segi geografi terletak berhampiran Sabah, mesti terus meningkatkan hubungan baiknya dengan Sabah meskipun kekal sebagai wilayah persekutuan.

Beliau berkata ekonomi Labuan perlu diintegrasikan dan diselaraskan dengan Sabah supaya pulau itu mendapat faedah dari tempiasan ekonomi negeri tersebut.

“Oleh kerana Warisan telah bertapak di pulau itu, Labuan akan mempunyai akses langsung kepada kerajaan Sabah dan kerajaan persekutuan, melalui Kementerian Wilayah Persekutuan,” katanya.

Rozman juga berkata bahawa beliau akan bertanding jawatan dalam Majlis Tertinggi Warisan pada pemilihan parti awal bulan depan kerana berpendapat ini penting untuk Labuan dalam jangka panjang.

— BERNAMA