Pilih Bahasa

PEMIMPIN MASYARAKAT PERLU PEKA MASALAH DI KAMPUNG MEREKA – ARIFIN

Oleh Zakaria Damit

Arifin bersama dengan penduduk Kampung Bonggaya Baru, Sekong. Gambar SNT/Zakaria Damit

SEKONG: Pemimpin di peringkat akar umbi diingatkan agar lebih peka untuk menyalurkan permasalahan penduduk di kawasan mereka.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Arifin Asgali berkata pemimpin di peringkat kampung tidak sepatutnya menunggu masalah tersebut semakin sukar diselesaikan menyebabkan penduduk hilang kepercayaan kepada kepimpinan mereka.

Katanya, mereka perlu lebih proaktif serta berganding bahu untuk memastikan bantuan yang diperlukan penduduk kampung dapat disalurkan dalam tempoh singkat.

Arifin bertemu dengan penduduk Kampung Bonggaya Baru, Sekong. Gambar SNT/Zakaria Damit

“Kita yakin jika pemimpin peringkat akar umbi proaktif serta sering melakukan tinjauan di peringkat kampung mereka masalah yang dihadapi serta pengagihan bantuan akan dapat disegerakan.

“Ini merupakan salah satu usaha yang sangat kita utamakan. Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) khususnya di kawasan N.43 Sekong akan terus bekerjasama untuk memastikan bantuan yang diperlukan sampai pada penerima,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan bersama penduduk Kampung Bonggaya Baru, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, di sini hari ini.

Arifin yang juga Wakil Rakyat Dun Sekong berkata, sebagai contoh program pertemuan pada hari ini dilihat sangat berkesan dalam mendekatkan pemimpin bersama penduduk setempat.

Program bersama penduduk kampung ini akan diperluaskan ke seluruh DUN Sekong bagi memastikan rakyat di peringkat akar umbi dapat menyalurkan masalah mereka.

“Selepas perjumpaan ini kita akan pastikan setiap permasalahan yang dijanjikan akan dapat disalurkan tanpa mengira fahaman politik mereka,” katanya.

Arifin menambah, UPPM Dun Sekong sedang merancang untuk mengadakan perbincangan dengan agensi kerajaan bagi memastikan masalah dihadapi dalam diselesaikan dalam tempoh singkat.-SabahNewsToday