Pilih Bahasa

PEMIMPIN SABAH SAMBUT BAIK TITAH AGONG

Oleh Sabah News Today

KUALA LUMPUR: Pemimpin Sabah menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah agar Kerajaan Pusat menumpukan pembangunan di negeri itu secara inklusif iaitu daripada segi ekonomi, infrastruktur serta pembentukan modal insan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata peringatan tersebut perlu dilaksanakan agar jurang pembangunan di bandar dan luar bandar yang wujud sekarang dapat diatasi.

Mohd Shafie ketika ditemui di lobi Parlimen selepas titah Seri Paduka Baginda hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Alhamdulillah titah tuanku memperingatkan kerajaan supaya keseimbangan daripada segi pembangunan dapat dilaksanakan bukan sahaja kepada bandar tetapi juga luar bandar.

“Titah tuanku ini berhubung kepada kait kepada suara rakyat yang mahukan pembangunan di Sabah ditingkatkan,” kata Ahli Parlimen Semporna itu di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Seri Paduka yang bertitah sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 bermula hari ini mengingatkan kerajaan supaya meningkatkan kesejahteraan rakyat di luar bandar termasuk orang asal Sabah, Sarawak dan Orang Asli.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darrel Leiking berkata, titah baginda menjelaskan bahawa Sabah telah lama diabaikan oleh kerajaan sebelum ini, maka kerajaan sekarang perlu mengambil langkah memperbaiki perkara itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang menjelaskan, sudah tiba masa untuk tumpuan pembangunan negara difokuskan ke Sabah dengan menarik kemasukan pelaburan baharu untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada negeri itu.

“Kerajaan yang ada sekarang perlu fokus kepada Sabah, kemajuan infrastruktur dititahkan baginda, maka Jabatan Kerja Raya perlu membaik pulih atau menbina baharu jalan-jalan Sabah dan Sarawak.

“Baru-baru ini Seri Paduka melawat Sabah, baginda maklum balas di situ dan tahu bahawa sudah lama Sabah diabaikan,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian titah tersebut.

Darrel berkata, dalam usaha kerajaan membangunkan Sabah, jawatankuasa Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur, Brunei, Indonesia, Malaysia dan Fili­pina (BIMP-Eaga) adalah antara yang perlu diperkasakan agar memberi manfaat ekonomi kepada Sabah dalam perdagangan bersama tiga negara jiran itu.

Menurut beliau, BIMP-Eaga adalah antara topik yang menarik perhatian dalam pertemuan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte minggu lalu kerana manfaatnya bukan sahaja pembangunan ekonomi tetapi menyelesaikan masalah kemasukan imigran di Sabah.

“Saya harap dapat penjelasan yang lebih daripada Kerajaan Pusat iaitu apa perancangan jangka panjang supaya manfaat dan hasil kepada Sabah sebagai salah satu entiti BIMP-Eaga mesti dipercepatkan.

“Saya berpendapat jika kita berikan peruntukan kewangan dan motivasi kepada BIMP-Eaga kita akan berjaya selesaikan banyak masalah di Sabah termasuk kemasukan imigran haram.

“Presiden sudah cakap Sabah pasti akan mendapat manfaat ekonomi jika kita turut menolong pembangunan di Selatan Filipina melalui BIMP-Eaga,” jelasnya.-SabahNewsToday