Pilih Bahasa

Pemimpin tinggi Daesh maut dalam serangan peluru berpandu tentera gabungan di Afghanistan

JALALABAD (Afghanistan), 27 Ogos (Bernama) — Pemimpin tinggi Islamic State (IS) atau Daesh Afghanistan terbunuh selepas peluru berpandu jarak jauh yang ditembak pasukan tentera gabungan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pimpinan Amerika Syarikat (AS) terkena tempat persembunyian kumpulan militan itu di wilayah Nangarhar, lapor agensi berita China Xinhua memetik satu kenyataan pada Isnin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kor 201 Saleb Tentera Afghanistan yang berpangkalan di wilayah itu, Abu Saad Erhabi bersama-sama 14 lagi anggota Daesh telah terbunuh apabila peluru berpandu itu mengenai tempat persembunyian kumpulan militan tersebut di Waziri Tangai, sebuah lokaliti dalam daerah Khogyani, Nangarhar pada Ahad.

Kenyataan itu menyebut tujuh anggota militan turut cedera dalam serangan yang berlaku di kawasan pergunungan yang terletak di barat daya bandaraya Jalalabad.

Dua pusat kawalan Daesh serta sejumlah besar bahan letupan dan senjata api musnah dalam serangan itu.

Erhabi adalah pemimpin keempat Daesh di Afghanistan yang terbunuh sejak pertengahan 2017 di wilayah timur Afghanistan, kata para pegawai.

Daerah itu telah menjadi lokasi pertempuran sengit antara pasukan keselamatan dan militan Daesh dari semasa ke semasa.

Pertempuran yang berlaku telah memaksa beribu-ribu penduduk kampung di Khogyani melarikan diri ke tempat lebih selamat.

Kumpulan Daesh, yang muncul di Nangarhar pada awal 2015, belum mengulas laporan itu.

— BERNAMA