Pilih Bahasa

Pemuda Amanah cadang PH, Upko guna lambang Warisan

KOTA KINABALU: Pemuda Amanah Nasional mencadangkan kesemua parti yang menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggunakan lambang Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Negeri yang akan datang.

Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Nasional, Khairuddin Daud berkata parti komponen Pakatan Harapan – Amanah, DAP, PKR – serta Upko wajar menggunakan hanya satu lambang iaitu lambang Warisan sebagai tanda solidariti mereka mempertahankan mandat rakyat dan menolak pemimpin-pemimpin politik yang tidak berprinsip.

Khairuddin Daud. Gambar Fail SNT

“Penggunaan logo Warisan adalah sebagai menunjukkan kesatuan dan sokongan tidak berbelah bagi kepada Parti Warisan Sabah (yang dipimpin oleh Mohd Shafie) dalam PRN Sabah.

“Meskipun diugut, ditekan, dan cuba dibeli oleh pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional daripada persekutuan, Adun daripada Warisan tetap bertahan mempertahankan mandat rakyat Sabah sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

“Rata-rata rakyat Sabah khususnya anak muda menolak pemimpin-pemimpin yang disifatkan ‘katak’ dalam PRN Sabah berikutan kekecewaan rakyat terhadap sikap pemimpin politik yang mementingkan periuk nasi sendiri,” ujarnya.-SabahNewsToday