Pilih Bahasa

PEMUDA AMANAH SABAH GESA MP SABAH SOKONG PINDAAN PERKARA 1(2)

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Pemuda Parti Amanah Negeri Sabah (Amanah) mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan berhubung pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia.

Ketua Pemuda Amanah Sabah, Khairuddin Daud berkata keputusan Kabinet Persekutuan itu merupakan langkah bermakna dalam realisasikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Khairuddin (duduk tengah) bersama barisan kepimpinan Amanah Sabah menggesa Ahli Parlimen Sabah menyokong pindaan Perkara 1(2). – Gambar SNT / Ihsan Amanah Sabah

“Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kabinet Persekutuan yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamed, Perdana Menteri Malaysia, diatas keputusan membuat pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, yang akan menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia.

“Pastinya pengumuman ini amat dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah dan Sarawak kerana ini merupakan satu langkah yang bermakna dalam merealisasikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jumaat lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong mengumumkan bahawa kerajaan pada mesyuarat Kabinet Rabu lepas telah bersetuju untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan tersebut.

Justeru perbincangan mengenai usaha mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti MA63 dijangka menjadi tumpuan utama persidangan pertama mesyuarat penggal kedua Parlimen ke-14, bermula Isnin ini (esok).

Liew yang juga pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Kerja MA63 berkata pindaan perlembagaan itu akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini bagi menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi yang mempunyai hak sama rata.

Walau bagaimanapun, pindaan perlembagaan ini memerlukan sokongan 2/3 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, iaitu 148 Ahli Parlimen dan berdasarkan kedudukan terkini, Pakatan Harapan mempunyai 135 ahli Parlimen, sembilan daripada Warisan dan Upko satu.

Oleh itu hanya tinggal tiga Ahli Parlimen lagi diperlukan bagi membolehkan Perlembagaan Malaysia dipinda untuk membolehkan status Sabah dan Sarawak diiktiraf sebagai rakan kongsi.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata Pemuda Amanah menggesa ahli Parlimen daripada Sabah dan Sarawak untuk menyokong usul ini pada sesi parlimen akan datang.

Menurutnya perkembangan politik Sabah telah menyaksikan Ahli Parlimen daripada Kudat, Datuk Seri Rahim Bakri; Ahli Parlimen Sipitang, Hafiz Yamani Musa dan ramai lagi telah keluar daripada Umno dan menyatakan hasrat menyertai Bersatu bagi mengukuhkan lagi kerajaan Sabah yang dipimpin Warisan dan Pakatan Harapan di Semenanjung.

“Maka, bagi membuktikan komitmen menyokong Pakatan Harapan, Pemuda Amanah Sabah menggesa mereka memulakan langkah dengan menyokong usul ini di Parlimen diikuti ahli Parlimen daripada Sarawak.

“Kami percaya dengan pindaan perlembagaan ini akan membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan di Sabah dan Sarawak selaras aspirasi Pakatan Harapan,” ujarnya. – SabahNewsToday