Pilih Bahasa

Pemuda Pas saran KPT tinjau SOP pelaksanaan penghantaran pelajar Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Dewan Pemuda Pas Sabah menyarankan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memantau secara jelas prosedur operasi standard (SOP) penghantaran dan ketibaan semua pelajar Sabah yang balik dari IPT Semenanjung dan Sarawak.

Ketuanya, Zulzaim Hilmee Abidin berkata pemantauan itu perlu dibuat sehingga mereka yang balik selamat tiba di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.

Zulzaim Hilmee Abidin. Gambar Fail SNT

Ini susulan kegelisahan daripada pelajar dan pihak waris yang mengadu mengenai SOP yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sebaik sahaja mereka tiba di negeri ini agak mengelirukan terutama kepada pelajar dan pihak waris.

“Sekalipun Ketua Menteri Sabah telah mengeluarkan kenyataan media pada hari ini berkaitan isu tersebut, pihak KPT perlu memantau secara dekat agar pelaksanaan SOP tersebut berjalan dengan rapi dan tidak mempunyai kelemahan yang jelas pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu, Zulzaim berkata keselesaan penempatan pusat kuarantin kepada pelajar yang bergejala juga perlu dipantau agar kebajikan mereka dapat ditingkatkan oleh pihak yang terlibat secara langsung dalam urusan pengendalian pelajar ini agar tidak wujud dakwaan ‘kluster kayangan’.

Katanya Dewan Pemuda Pas Sabah melalui Unit Pembangunan Mahasiswa juga akan memantau perkembangan semasa agar pelajar Sabah yang balik tidak menghadapi masalah serius dan tiba di kampung halaman masing-masing dengan lebih terjamin. – SabahNewsToday