Pilih Bahasa

Pemuda PH Sabah gesa ROS ambil tindakan tegas ke atas Umno, PBRS

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sabah menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mengambil tindakan tegas terhadap Umno Sabah dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Setiausaha Pemuda PH negeri,
Mohammad Razeef Rakimin berkata pihaknya sebulat suara menggesa ROS mengenakan tindakan tegas terhadap kedua-dua parti itu berhubung salah guna kuasa khususnya berkaitan pemindahan wang 1MDB.

Menurut Razeef Umno dan PBRS telah menerima wang secara haram daripada syarikat milik kerajaan terdahulu iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Mengikut pendedahan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) sejumlah RM1.2 telah dipindahkan daripada syarikat tersebut kepada Umno Sabah manakala dana sejumlah RM1 juta telah dipindahkan kepada PBRS.

“Ini adalah perbuatan yang tidak boleh dimaafkan kerana wang 1MDB sepatutnya digunakan untuk pembangunan ekonomi negara bukan disalurkan demi kepentingan parti politik tertentu,” katanya dalam kenyataan di sini hari.

Terdahulu Pemuda PH Sabah menyerahkan aduan mereka di pejabat ROS di Menara MAA Kota Kinabalu kira-kira pukul 10.30 pagi kelmarin.

Razeef berkata tindakan memindahkan dana dengan jumlah yang begitu besar
ini jelas menunjukkan terdapat salah guna kuasa dan kesalahan penggunaan wang rakyat oleh Umno dan PBRS.

Tegas beliau lagi andai perkara tersebut dibiarkan tanpa sebarang tindakan tegas oleh ROS dikhuatiri amalan itu akan menjadi ikutan di masa hadapan dan ia pastinya akan berulang kembali.

Maka itu katanya amat penting agar tindakan yang tegas dikenakan terhadap Umno Sabah dan PBRS sebagai pengajaran dan peringatan bahawa penerimaan wang seperti ini adalah haram dan salah di sisi undang-undang.

Katanya tindakan tegas ROS amat bertepatan dengan Akta Pertubuhan dan prinsip ROS sendiri untuk menjunjung prinsip ketelusan dan integriti dalam amalan berpolitik. – SabahNewsToday