Pilih Bahasa

PEMUDA UMNO SABAH SOKONG PENENTANGAN NAJIS KLEPTOKRAT DALAM KALANGAN PEJUANG POLITIK

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Biarpun berbeza ideologi politik, apa sahaja yang dizahirkan demi kebaikkan mutlak perlulah disokong tanpa iringan prejudis yang membuta.

Naim Moktar. Gambar Fail SNT

Ketua Penerangan Pemuda Umno Sabah Naim Moktar berkata perkara tersebut harus disemai dalam diri semua pejuang-pejuang politik.

“Tatkala laut bergelora, usah dibiar emosi melalak. Selaku salah satu pengemudi barisan Pemuda Umno Sabah, saya merasakan ekspresi Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abd Rahman dalam menentang anasir-anasir rakus dalam mendapatkan habuan politik adalah bernada rasional.

“Sudah tiba masanya kegilaan politik berkiblatkan habuan duniawi diranapkan sepenuhnya.

“Tiada gunanya melaungkan ‘Malaysia Baharu!’ jikalau isinya masih pahit,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Terdahulu, katanya Syed Saddiq secara lantang menentang suara-suara sumbang yang masih mabuk dek wang besar yang mahu digali daripada lombong-lombong idaman yang disuarakan secara terbuka mendesak projek gemerlapan buat ‘perwira-perwira bangsa’ PPBM.

“Biarpun berlayar dengan bahtera yang berbeza, saya bersama barisan Pemuda Umno Sabah sebulat suara menyokong penentangan Syed Saddiq terhadap pembiakkan najis kleptokrat yang bukan sahaja memalapkan integriti kepimpinan nasional malah melayukan kepercayaan rakyat pada pimpinan yang didokong,” katanya. -SabahNewsToday