Pilih Bahasa

Pemuda Upko buat laporan polis terhadap kenyataan tular fitnah Upko

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Petrus Conrad Mojuntin (dua dari kanana) bersama beberapa Pemuda Upko menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap kenyataan di laman sosial yang didakwa memfitnah parti itu. Laporan dibuat di IPD Penampang. – Gambar SNT/Ihsan Pemuda Upko

KOTA KINABALU: Naib Ketua Pergerakan Pemuda Upko, Petrus Conrad Mojuntin membuat laporan polis terhadap satu kenyataan bergambar yang menjadi tular di media sosial yang mendakwa parti itu akan keluar daripada gabungan kerajaan pimpinan Warisan.

Petrus berkata laporan tersebut dibuat di Balai Polis Daerah (IPD) Penampang kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Menurutnya kenyataan tambahan `Dijangka Upko Akan Keluar Dari Pakatan Warisan’ yang dikaitkan dengan berita bertajuk `Upko Akan Bawa Isu Monopoli Kuasa Kepada Ketua Menteri’ bukan sahaja mengelirukan rakyat tetapi mencemarkan nama baik parti itu.

“Kenyataan fitnah itu juga menggunakan gambar satu sesi sidang media berkenaan hal lain sebelum ini yang dihadiri Ahli Majlis Tertinggi Upko termasuk Presidennya, Datuk Wilfred Madius Tangau untuk mengelirukan ahli dan rakyat di Sabah.

“Pergerakan Pemuda Upko menafikan sekeras-keras dakwaan ini yang dipercayai ditularkan dengan niat jahat untuk memecah-belah hubungan baik Upko dan Parti Warisan Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau lagi kenyataan bergambar itu adalah fitnah dan sengaja direka oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencemarkan integriti serta nama baik Upko secara amnya.

Sehubungan itu,Pemuda Upko menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya melakukan siasatan terperinci berhubung kenyataan tular tersebut dan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang bertanggungjawab. – SabahNewsToday