Pilih Bahasa

PEMUTIHAN BUKAN PROGRAM PEMBERIAN KEWARGANEGARAAN: AZIS

KOTA KINABALU: Cadangan pemberian dokumen pengenalan diri kanak-kanak tanpa dokumen dalam program pemutihan bukan bermaksud memberi kewarganegaraan secara automatik kepada mereka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Mohd Azis Jamman berkata sebaliknya dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan itu adalah untuk membolehkan kerajaan mendapat data termasuk data biometrik seterusnya mengetahui bilangan mereka yang ada.

“Saya memandang serius tuduhan berhubung jawapan saya selepas diajukan soalan oleh  Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffrey Kitingan di Dewan Rakyat baru-baru ini yang dipolemikkan.

Datuk Mohd Azis Jamman. Gambar Fail SNT

“Walhal saya hanya menjawab soalan beliau yang meminta Kerajaan menyatakan usaha untuk membantu warganegara yang berkahwin dengan bukan negara dan anak mereka tidak mempunyai dokumen,” katanya.

Azis berkata jawapan beliau di Dewan Rakyat adalah jelas dimana beliau telah nyatakan program pemutihan dicadangkan agar Kerajaan boleh membuat bancian sekaligus membantu mereka yang berada dalam kategori tersebut dengan memberikan mereka dokumen pengenalan diri.

“Jangan pula ia disalahtafsir dan menyeleweng fakta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya bagi kes-kes di mana status mereka adalah jelas sememangnya warganegara kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberikan hak kewarganegaraan kepada mereka kerana sudah memenuhi syarat tersebut tanpa mengira kaum, bangsa dan agamanya

“Dalam usaha memutihkan golongan ini, tidak bermakna tiada usaha kerajaan untuk membantu dan menjejaki golongan bumiputera yang duduk jauh terpencil di pendalaman dan di pulau-pulau sehingga menyebabkan anak-anak mereka tidak berdaftar.

“Malah kerajaan sentiasa berusaha membantu golongan ini dengan melaksanakan program outreach melalui penubuhan Team Mobile JPN,” katanya.

Azis berkata kerajaan sentiasa mengambil peduli mengenai hak kanak-kanak dan ini merangkumi semua kanak kanak di Malaysia seperti yang dimeterai dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak PBB.

“Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Malaysia sebagai salah satu penandatangan Konvensyen tersebut untuk melindungi dan membangun semua kanak-kanak tanpa mengira agama, bangsa dan kewarganegaraan.

‘Pihak kerajaan tidak akan meminggirkan mana mana pihak atau masyarakat pribumi Sabah seperti dituduh tetapi ia  hanyalah satu kaedah untuk menyelesaikan masalah kanak-kanak tanpa dokumentasi mengikut perbezaan konteks dan realiti persoalan undang undang,” katanya.

Dalam pada itu, Azis menerangkan kerajaan sedang berusaha untuk mengkaji semua kaedah kaedah dan konteks masalah kanak kanak yang berisiko menjadi stateless.

“Kerajaan komited untuk membantu semua kanak kanak di Sabah tanpa mengira kaum agama ataupun status kewarganegaraan kerana semua kanak kanak perlu dilindungi secara bersama,” ujarnya.-SabahNewsToday