Pilih Bahasa

Penaiktarafan tadahan air graviti beri kelegaan kepada 316 keluarga di Pinambawan

TUARAN:  Penduduk Kampung Pinambawan di sini melahirkan rasa terima kasih kepada Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau atas projek penaiktarafan kawasan tadahan air graviti yang telah diumumkan baru-baru ini.

Ketua Kampung Pinambawan 1, Abdul Rahim Tehe, 68,  berkata, masalah bekalan air yang dihadapi di kampung itu bukan baru setahun dua, tetapi telah berlarutan sejak sekian lama.

Madius turut melawat tangki yang telah ditebuk dan akan digantikan dengan baharu beserta sistem perpaian yang lebih baik. Gambar SNT/Ihsan Pejabat MTI

“Keprihatinan Datuk Seri Madius untuk membantu menyelesaikan pekara ini amat kami hargai. Malah saya juga melihat beliau turun padang untuk sama-sama mendaki bukit lebih sejam untuk melihat kawasan tadahan air graviti yang perlu dinaiktaraf.

Abdul Rahim Tehe. Gambar SNT/Ihsan Pejabat MTI

“Kami sangat terharu dengan komitmen yang diberikan, penyelesaian ini sudah pasti melegakan lebih 316 keluarga yang ada di keseluruhan kampung ini,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Bagi Ketua Kampung Pinambawan 2, Madjait Daip, 55, beliau memaklumkan penyelesaian itu umpama sebuah hadiah menjelang Hari Raya Aidilfitri kepada  masyarakat kampung.

Madjait Daip. Gambar SNT/Ihsan Pejabat MTI

“Projek ini kita tahu akan sedaya upaya disiapkan sebelum sambutan Hari Raya.  Kita harapkan segalanya berjalan lancar, dan sekiranya terdapat sedikit kelewatan kita memahami atas faktor pandemik Covid-19 yang melanda negara sekarang. Namun yang lebih penting masalah yang dihadapi sejak sekian lama oleh penduduk kampung ini akhirnya berjaya diselesaikan,” katanya.

Seorang lagi penduduk kampung yang ditemui, Siti Haliza Ali, 27, turut melahirkan rasa gembira atas projek penyelesaian masalah terhadap keperluan asas harian itu.

Siti Haliza. Gambar SNT/Ihsan Pejabat MTI

“Pada ketika ini, tidak kira hari-hari biasa atau semasa bulan puasa, saya  mengisi 70 gelen air untuk dibawa balik ke rumah untuk keperluan seperti memasak, mandi dan sebagainya.

“Jadi selepas ini semuanya akan lebih mudah sekiranya bekalan air sudah boleh dinikmati di semua rumah penduduk kampung,” ujar beliau.

Terdahulu, Madius serta pemimpin komuniti kampung berkenaan telah mengadakan lawatan bersama pembekal yang dilantik ke tapak tadahan air graviti.

Menurut beliau penyelesaian akan meliputi sumber air graviti, sistem perpaipan dan penyediaan beberapa tangki besar bagi menampung keperluan penduduk.

Madius (empat kanan) bersama pemimpin kampung Pinambawan dan pembekal melawat kawasan tadahan air graviti kampung berkenaan. Gambar SNT/Ihsan Pejabat MTI

“Saya telah meminta pembekal untuk memastikan projek ini benar-benar dibuat dengan baik dan berkualiti. Itulah sebabnya saya membawa dia bersama dengan pemimpin kampung untuk mendaki bukit serta melihat kawasan tadahan untuk memaklumkan kepadanya perkara-perkara yang harus dibuat.

“Saya juga meminta ketua-ketua kampung membuat satu peraturan untuk tujuan penyeliaan bekalan air. Saya meminta mereka menubuhkan jawatankuasa kerana tidak mahu lagi ada penduduk yang pergi menebuk tangki utama seperti yang berlaku sebelum ini.

“Jika ada berlaku, jawatankuasa ini yang akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peraturan yang telah digariskan,” katanya.-SabahNewsToday