Pilih Bahasa

Penamaan: Hajiji hadapi saingan tiga penjuru di DUN Sulaman

Calon Perikatan Nasional, Datuk Seri Hajiji Noor beramah mesra bersama calon Warisan Sabah (Warisan) Plus Datuk Aliasgar Basri (kanan) Turut sama calon Parti Cinta Sabah, Datuk Rekan Hussein. – Bernama

TUARAN, 12 Sept,– Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berhadapan saingan tiga penjuru untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Hajiji, 65, yang mewakili Perikatan Nasional (PN), merupakan penyandang kerusi DUN Sulaman sejak tahun 1990, akan dicabar calon Warisan Plus Datuk Aliasgar @ Ali Ashgar Basri dan calon Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Rekan Hussien, 64. 

Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya DUN N12 Sulaman, Mohd Sofian Alfian Nair berkata Rekan merupakan calon pertama mengemukakan kertas penamaan calon iaitu pada jam 9.05 pagi.

Ini diikuti Hajiji  dan Aliasgar.

“Saya telah menyemak kertas penamaan tersebut dan setelah selesai disemak saya berpuas hati  memutuskan tiada calon ditolak kertas penamaannya,” katanya ketika mengumumkan senarai calon di pusat penamaan calon di Dewan Seri Sulaman, di sini.

— BERNAMA