Pilih Bahasa

Penambahan mengikut ‘Satu MPKK, Satu Kampung’ dilaksana tahun ini

Oleh Alfred Petrus

MATUNGGONG: Bilangan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) seluruh negeri akan ditambah pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata kerajaan telah bersetuju supaya bilangan MPKK ditambah mengikut keperluan sebenar.

Ewon (tiga kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada salah seorang penerima. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Pada masa ini, terdapat 2,853 MPKK di seluruh negeri. Namun, terdapat Pengerusi MPKK yang menjaga sehingga tiga buah kampung kerana tiada penambahan atau pengujudan kouta perjawatan tambahan JKKK sebelum ini.

“Justeru, kerajaan telah bersetuju terhadap semakan keperluan sebenar urustadbir kampung supaya perjawatan ini ditambah berdasarkan keperluan Satu Kampung, Satu MPKK,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan MPKK bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Matunggong pada Jumaat.

Ewon berkata kementeriannya telah memaklumkan kesemua Pejabat Daerah di seluruh negeri bagi mengenalpasti kampung-kampung yang perlu diwujudkan jawatankuasa MPKK yang baharu.

Ewon (depan tengah) bergambar bersama sebahagian daripada Pengerusi MPKK yang menerima watikah pelantikan pada majlis berkenaan. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Beliau berharap dapat membentangkan kepada kabinet dalam masa terdekat berkenaan jumlah penambahan jawatankuasa MPKK yang baharu supaya urustadbir kampung menjadi lebih baik apabila dilantik kelak.

“Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menyediakan kertas kabinet selepas senarai kampung tersebut diterima dari pejabat-pejabat daerah,” katanya. -SabahNewsToday