Pilih Bahasa

Penanaman buah-buahan komersial, sayur-sayuran tanah tinggi ditingkatkan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri merancang mempertingkatkan penanaman buah-buahan komersial serta sayur-sayuran tanah tinggi bagi tempoh tahun 2020 sehingga 2030 dalam memenuhi permintaan domestik dan eksport.

Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong berkata kementeriannya dalam proses akhir merangka Sabah Agriculture Blueprint 2020 – 2030 yang menggariskan strategi serta inisiatif untuk terus memacu pembangunan pertanian di Sabah.

Datuk Junz Wong. Gambar Fail SNT

Junz berkata antara tanaman yang dirancangkan untuk diperluas penanamannya termasuklah durian (11,000 hektar) yang dijangka mampu mengeluarkan hasil sebanyak
103,950 tan, nanas MD2 dan nanas (2,500 hektar) dijangka mengeluarkan hasil sebanyak 138,750 tan.

“Kita turut mahu memperluas penanaman kelapa berjumlah 20,000 hektar yang dijangka boleh mengeluarkan hasil sebanyak 70,000 tan, kopi (1,430 hektar) dengan jangkaan mengeluarkan hasil sebanyak 1,430 tan, sayur-sayuran tanah tinggi (174 hektar) jangkkan hasil
1,862 tan serta jagung bijian (300 hektar) yang dijangka mengeluarkan hasil sebanyak 2,400 tan.

“Menurut rekod keluasan tanaman durian pada tahun lalu adalah 4,985.8 hektar, nanas (3,004 hektar), kelapa (16,968 hektar), kopi (1,401 hektar), sayur-sayuran tanah tinggi (1,805.5 hektar) dan jagung bijian (66.5 hektar) bagi tempoh tahun 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat ucapan penggulungan perbahasan usul terima kasih ke atas ucapan dasar yang disampaikan TYT pada persidangan Dewan Undangan Negeri, dekat sini, hari ini.

Junz dalam ucapan sama berkata kedudukan Sabah yang strategik dalam rantaian perdagangan antarabangsa, kurang bencana alam dan iklim sesuai untuk aktiviti pertanian.

Beliau berkata semua faktor berkenaan yang menyumbang kepada pembangunan industri pertanian di negeri terbabit.

“Tahap kecukupan sara diri (SSL) bagi beras tahun ini adalah 25 peratus, tanaman buah-buahan tempatan sebanyak 114 peratus dan sayur-sayuran tempatan 93 peratus berbanding dengan SSL pada tahun 2016 iaitu beras 24 peratus, buah-buahan tempatan 98 peratus namun sayur-sayuran tempatan tetap pada kadar 93 peratus.

“Dalam pada itu, kita di kementerian serta semua jabatan dan agensi di bawah kementerian termasuk Jabatan Pertanian Sabah terus komited dalam memastikan keselamatan mahupun kecukupan makanan di seluruh negeri.

“Bagi menyokong rancangan ini, Jabatan Pertanian Sabah akan meningkatkan pengeluaran bahan tanaman buah-buahan kelapa dan kopi sebanyak 50 peratus selain kementerian akan menggalakkan penglibatan pihak swasta dalam pengeluaran bahan tanaman.

“Kita akan mengeluarkan Sijil Ketulenan Bahan Tanaman melalui Program Skim Pengesahan Bahan Tanaman selaku insentif kepada pihak swasta. Program ini bertujuan untuk menampung keperluan bahan tanaman di negeri ini,” katanya. -SabahNews Today