Pilih Bahasa

Penangguhan aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat dilanjutkan sehingga 31 Mac 2020M/06 Syaaban 1441H – Mufti Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Majlis Fatwa Negeri
Sabah memutuskan bahawa semua aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid dan surau masih ditangguhkan selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula daripada 18 – 31 Mac ini.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata arahan penangguhan itu sebelum ini iaitu 17-26 Mac 2020M/22 Rejab – 01 Syaaban 1441 dilanjutkan sehingga 31 Mac 2020M/06 Syaaban 1441H (Selasa).

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar. Gambar Fail SNT

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pelanjutan atau penamatan tempoh ini tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Keputusan ini akan melibatkan penangguhan solat jumaat pada 27 Mac
2020M/02 Syaaban 1441H. Ahli Qaryah wajib solat fardhu Zohor di tempat
kediaman masing-masing pada tarikh tersebut.

“Umat Islam hendaklah merujuk garis panduan yang pernah dikeluarkan
sebelum ini iaitu ‘Irsyad Mengenai Garis Panduan Masjid dan Surau Sepanjang Tempoh Penangguhan Solat Jumaat, Berjemaah dan Aktivitinya’ dan garis panduan lain yang dikeluarkan oleh pihak berwajib,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aziz berkata lagi, umat Islam perlu mengambil langkah keselamatan dan sentiasa mengambil langkah keselamatan mengikut saranan dan garis panduan pihak KKM.

Beliau turut mengajak agar seluruh umat Islam terus istiqamah memperbanyakan istighfar dan bertaubat kepada Allah SWT serta sentiasa berdoa moga diberikan perlindungan daripada dijangkiti wabak ini. – SabahNewsToday