Pilih Bahasa

PENCARIAN LELAKI HILANG DI BUKIT PAYUNG DIHENTIKAN

Oleh Alfred Petrus

TUARAN: Operasi mencari dan menyelamat (Sar) seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Kampung Aman Bukit Payung pada petang kelmarin ditamatkan setelah didapati mangsa sebenarnya melarikan diri.

Menurut kenyataan dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah, operasi Sar dihentikan pada pukul 7.16 malam tadi setelah berbincang dengan pihak waris mangsa.

Penolong Penguasa Bomba Zico Mojib mengendali drone menggunakan alat kawalan jauh semasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa berumur 40 tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Aman, Bukit Payung, Tuaran. Gambar SNT/Ehsan Pembaca

Kenyataan tersebut menyatakan mangsa mempunyai masalah mental dan sebenarnya telah melarikan diri.

Menurut kenyataan itu lagi, mangsa sudah berulang kali melarikan diri setiap kali dikesan.

Terdahulu, mangsa, 40, dikatakan hilang selepas keluar daripada rumah seawal pagi di kawasan hutan berhampiran.

Mangsa dipercayai masuk ke hutan dalam keadaan tidak berpakaian. -SabahNewsToday