Pilih Bahasa

Pencuri tegar ditahan polis

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Polis menahan seorang penagih dadah dipercayai terbabit dalam kes pecah masuk pejabat Umno Bahagian Silam di Bangunan Global Commercial, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata suspek berusia 22 tahun itu ditahan dalam serbuan Operasi Kesan di sebuah bilik pekerja kilang ais, di Jalan Dam, pukul 1.30 pagi tadi.

ACP Nasri Mansor. Gambar Fail SNT

Katanya tangkapan berkenaan dijalankan selepas menerima laporan daripada pejabat Umno berhubung kes pecah masuk berkenaan.

“Pengadu wanita berusia 39 tahun dimaklumkan oleh kakitangan berhubung keadaan pejabat yang berselerak ketika pejabat itu dibuka pada pukul 8.42 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua komputer riba hilang dipercayai dicuri oleh suspek.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati suspek dipercayai masuk melalui pintu utama, dengan mengumpil kunci mangga pada grill besi pintu berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berhubung kes pecah masuk, satu kes mencuri dan satu kes berkaitan dadah.

“Suspek kini ditahan dan disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya. – SabahNewsToday