Pilih Bahasa

Pendaki warganegara Belgium diusung turun dari puncak Gunung Kinabalu

KOTA KINABALU, 7 Sept — Seorang pendaki warganegara Belgium terpaksa diusung turun dari puncak Gunung Kinabalu selepas terjatuh dan mengalami kecederaan di paha ketika berada di puncak gunung berkenaan pagi ini.

Pendaki wanita itu, Vanden Broere Elien, 23, dibawa turun menggunakan pengusung oleh pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) dan anggota bomba.

Anggota Mosar mengusung pendaki dari Belgium turun dari Gunung Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan menyatakan bahawa balai bomba Ranau menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10 pagi.

“Dua anggota bersama lapan anggota Mosar telah pergi ke lokasi dan operasi tamat pukul 2.45 petang,” demikian menurut kenyataan itu.

Anggota Mosar bersedia untuk membawa turun pendaki dari Belgium. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Anggota penyelamat mengangkat mangsa dengan kaedah “robinson stretcher” sehingga ke Timpohon Gate dan mangsa kemudian diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan lanjut.

— BERNAMA