Pilih Bahasa

Pendekatan terbaik bantu cegah barah payudara kalangan wanita di Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan sentiasa memikirkan pendekatan terbaik membantu mencegah barah payudara dalam kalangan wanita di negeri ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Min Fung berkata inisiatif seumpama itu penting terutamanya untuk golongan wanita atau ibu tunggal yang tinggal di kawasan pedalaman.

Frankie (tiga dari kanan) meletakkan tangan pada skrin khas sebagai simbol perasmian iBreastExam dan iBreastExam Digital Breast Health Initiative di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Frankie berkata Sabah dilihat menjadi negeri tertinggi setakat ini yang golongan wanitanya menghidap penyakit berkenaan dengan peratusan sebanyak 52 peratus.

“Petusan ini lebih tinggi daripada nasional yang hanya pada kadar 40 peratus sahaja.

“Melihat jumlah ini pasti kita semakin bimbang dengan kesihatan wanita-wanita di Sabah ketika ini.

Frankie (dua dari kiri) melihat alat iBreastExam selepas perasmiannya di Kota Kinabalu, hari ini. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Oleh itu, kita mahu semua wanita sentiasa mengambil berat soal kesihatan payudara ini kerana tidak mahu lebih ramai wanita dii negeri ini menghidap penyakit sama,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian iBreastExam dan iBreastExam Digital Breast Health Initiative, dekat sini, hari ini.

Menjadi negeri pertama dipilih sebagai lokasi pelancaran, mesin iBreastExam ialah pendekatan baharu bagi golongan wanita untuk membuat pemeriksaan payudara.

Pemeriksaan menggunakan iBreastExam berkenaan boleh didapat di KPJ Healthcare Damai dan semua Medisinar Klinik dan Surgeri seluruh negeri.

Dalam pada itu, Frankie berkata pihaknya akan cuba menyediakan perkhidmatan pemeriksaan payudara menggunakan mesin sama di semua hospital kerajaan.

Menurutnya, setakat ini pemeriksaan seumpama itu hanya disediakan di hospital dan klinik swasta dengan kadar RM70.

“Sekiranya perkhidmatan sama dapat dibuat di hospital kerajaan, pastinya kita boleh mengurangkan lagin kadar bayar ini yang secara tidak langsung dapat membantu ibu tunggal dan wanita B40,” katanya. -SabahNews Sabah