Pilih Bahasa

Pendidikan awal kanak-kanak perlu diberi penekanan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pendidikan awal kanak-kanak perlu ditekankan oleh ibu bapa terhadap anak mereka sebagai persediaan bagi memulakan alam persekolahan dan menjalani proses pembelajaran kehidupan pada masa hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pemilihan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) sebagai tempat ibu bapa menghantar anak mereka adalah satu tindakan tepat.

Nizam (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang murid cemerlang. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Hal ini kerana setiap ibu bapa mahu memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan sempurna yang berupaya menjadi pelapis kepimpinan dan yang penting untuk masa hadapan negara.

“Saya yakin keputusan ibu bapa menghantar anak ke Taska dan Tabika adalah tepat kerana menjadi tanggungjawab sebagai orang tua untuk memastikan anak-anak mendapat pengetahuan pendidikan awal,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap pada majlis Hari Apresiasi Kanak-Kanak Taska Pertama/ Tabika Kemas Peringkat Daerah Tawau 2019 di Dewan Masyarakat, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kemas Sabah, Shahrulnizam Jantan dan 483 murid dari 16 Tabika di Parlimen Tawau.

Nizam (dua dari kanan) menerima cendera kenangan daripada Pengarah Kemas Sabah, Shahrulnizam Jantan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Nizam berkata kejayaan yang bakal diperoleh anak-anak pada masa hadapan boleh memastikan kedudukan ekonomi dan sosial sesebuah keluarga berada dalam keadaan baik.

Nizam berkata di samping memperoleh ilmu pembelajaran di Taska dan Tabika, anak-akan akan dipupuk dengan sifat keberanian, rendah diri, dan sentiasa bersaing dengan sihat.

“Kita mahu melahirkan anak-anak yang tidak takut untuk mencuba perkara positif, sebab itu ibu bapa harus memberi sokongan dan sentiasa memantau mereka supaya tidak terpedaya dengan budaya negatif.

“Ibu bapa juga perlu memantau pembabitan anak-anak dengan kemajuan teknologi supaya mereka tidak terjebak dengan budaya negatif yang boleh merosakkan minda,” jelasnya. – SabahNewsToday