Pilih Bahasa

PENDUDUK DALUNGAN KUALA KAINGARAN MAHU KETUA KAMPUNG LAMA DIKEKALKAN

Oleh Chris Maskilone

TAMBUNAN: Hampir 200 penduduk Kampung Dalungan Kuala Kaingaran di sini menandatangani petisyen membantah pelantikan ketua kampung baharu mereka.

Mereka juga mengadakan perhimpunan aman semalam menentang pelantikan ketua kampung baharu yang disifatkan tidak memenuhi kriteria seorang ketua yang mereka kehendaki.

Jurucakap penduduk kampung, Patrick Xavier Insil, 37, mendakwa ketua kampung baharu yang dilantik pada 15 Feb lalu tidak memperolehi kepercayaan penduduk kampung.

Sebahagian daripada penduduk Kampung Dalungan Kuala Kaingaran dalam perhimpunan aman membantah pelantikan ketua kampung baharu. Patrick Xavier Insil (berdiri paling kiri). Gambar SNT/Ehsan Penduduk Kampung

“Ketua kampung yang dilantik itu tidak mempunyai kriteria sebagai seorang ketua kampung yang boleh memimpin atau mentadbir kampung kami, sepertimana ketua kampung lama iaitu Zeno Amit,” kata Patrick.

Katanya penduduk kampung sebulat suara mahukan ketua kampung mereka sebelum ini dikekalkan kerana mempunyai karisma, lebih disenangi dan rapat dengan komuniti.

Katanya ketua kampung sebelum ini merupakan ketua kampung pilihan majoriti penduduk hasil undian secara demokrasi ketika sesi pemilihan ketua kampung yang diadakan pada 5 Okt, 2015.

“Kami mahukan ketua kampung kami dikekalkan bukan kerana soal politik atau mana-mana parti tetapi lebih kepada mahukan ketua kampung yang berjiwa rakyat, mesra, boleh memimpin dan mendapat kepercayaan warga kampung untuk mentadbir kampung kami dengan baik.

“Penduduk kampung juga mahukan ketua kampung yang cekap bekerja, muda, sihat dan aktif,” kata Patrick.

Dia berkata penduduk telah membuat bantahan secara bertulis pada 24 Okt tahun lalu mengenai pemilihan ketua kampung melalui lantikan dan juga ingin mengekalkan ketua kampung yang sedia ada yang dipilih sendiri oleh penduduk.

Namun, Patrick berkata ada kemungkinan surat tersebut tidak sampai ke pihak atasan.

Sehubungan dengan itu, Patrick berkata pada hari ini hampir 200 penduduk kampung telah menandatangani petisen membantah lantikan ketua kampung baharu ini dan memohon untuk mengembalikan jawatan tersebut kepada ketua kampung pilihan mereka iaitu Zeno Amit.

Penduduk setempat juga mengadakan himpunan aman membantah ketua kampung yang baharu itu, pada hari yang sama.

Patrick berkata mereka juga akan sekali lagi menghantar surat rayuan itu kepada pihak yang berkuasa untuk memohon pertimbangan bagi permintaan.-SabahNewsToday