Pilih Bahasa

Penduduk kampung menemui mayat perempuan separuh bogel terapung di Sungai Sugud

Oleh Chris Maskilone

RANAU: Mayat perempuan separuh bogel ditemui terapung di Sungai Sugud dekat Kampung Merungin 2, Timbua di sini pagi Jumaat lalu.

Penduduk kampung yang sedang memancing di sungai tersebut membuat penemuan ngeri itu lebih kurang jam 11.00 pagi.

Mayat perempuan ditemui tertiarap dan terapung di Sungai Sugud oleh penduduk kampung yang sedang memancing. Gambar SNT/Ihsan IPD Ranau

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan (DSP) Mohd Shahrul Datuk Haji Abdul Wahab ketika dihubungi media berkata Balai Polis Ranau telah menerima panggilan orang awam kira-kira jam 12.30 petang mengatakan terdapat mayat dalam keadaan terapung di Sungai Sugud.

Katanya mayat berkenaan ketika ditemui dalam keadaan tertiarap berpakaian baju t-shirt merah dan berseluar dalam warna merah jambu tanpa kasut.

Menurutnya siasatan awal polis mendapati mayat dipercayai berusia dalam lingkungan 30an telag lemas di tempat lain dan dihanyutkan oleh arus Sungai Sugud ke tempat ia ditemui.

“Kewarganegaraan dan bangsa masih belum diketahui setakat ini kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang dijumpai bersama mayat dan sekitarnya.

“Pengecaman telah dibuat oleh penduduk Kampung Merungin 2 dan dari kampung yang berhampiran namun tiada yang mengenalinya.

“Setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan orang hilang dalam tempoh 24 jam di daerah Ranau sejak mayat ditemui.

Jelas Mohd Shahrul keadaan fizikal mayat yang mula mengembung semasa dijumpai turut menyukarkan usaha mengesan identiti dan waris mangsa.

Pemeriksaan awal ke atas mayat juga mendapati tiada sebarang tanda yang menunjukkan terdapat unsur jenayah dikesan pada tubuh badan mayat.

“Mayat akan dihantar ke Hospital
Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu untuk menjalani bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu, diminta untuk menghubungi Sub Inspektor (SI) Manaf Mustafa di talian 013-8513918 atau datang terus ke pondok atau balai polis yang berdekatan,” katanya.-SabahNewsToday