Pilih Bahasa

Penduduk Kudat bakal nikmati terminal bas dan loji bekalan air bersih

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Chen Bin (kanan) dan Zakaria ketika sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Setiausaha Bahagaian Warisan Sepanggar di Kota Kinabalu – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

KUDAT: Penduduk di lima buah kampung di daerah ini iaitu Kampung Parapat Laut, Malaman, Milau, Limau-Limauan dan Suangpai bakal menikmati bekalan air bersih menerusi dua projek loji air yang akan dibina oleh kerajaan tidak lama lagi.

Pembantu Menteri Kepada Menteri Perdagangan dan Perindustrian merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Kapor, Chong Chen Bin berkata dua projek loji air itu terletak di Kampung Suangpai serta Limau-Limauan yang dianggarkan bernilai RM29 juta.

Menurut beliau daripada jumlah itu projek Kampung Limau-Limauan menelan belanja RM19 juta manakala RM10 juta untuk projek di Suangpai dan dijangka siap sepenuhnya pada November tahun hadapan.

“Kos untuk projek loji air di Kampung Limauan-Limauan menelan kos lebih tinggi berbanding Kampung Suangpai disebabkan loji air yang dibina adalah untuk beberapa kampung lain manakala sebuah lagi loji hanya bagi Kampung Suangpai sahaja.

“Apabila semua projek air brsih ini siap sepenuhnya kelak, ia akan memberikan kemudahan kepada lebih 5,000 penduduk meliputi lima kampung berkenaan.

“Kemudahan ini sudah lama dinantikan penduduk setempat kerana mereka belum pernah menikmati bekalan air bersih sejak negara kita merdeka. Selama ini mereka hanya bergantung kepada sumber air sungai, hujan, perigi serta air graviti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Setiausaha Bahagaian Warisan Sepanggar, Zakaria Damit di Kota Kinabalu semalam.

Dalam pada itu, beliau memuji kemeriahan sambutan rumah terbuka berkenaan kerana mampu menyatukan masyarakat setempat selain mampu bertemu sahabat lama dan rakan-rakan dalam bidang politik.

Sementara itu, Chen Bin berkata penduduk Kudat dan berhampiran juga sudah tidak perlu menunggu bas di kaki lima kedai atau bawah pokok dengan pembinaan terminal bas Kudat-Kota Kinabalu.

Tambah beliau lagi kemudahan terminal bas itu yang dianggarkan bernilai kira-kira RM500,000 dijangka siap pada Oktober hadapan.

Katanya antara kemudahan terdapat di terminal itu termasuklah gerai jualan, kaunter tiket, tandas dan tempat duduk yang selesa. – SabahNews Today