Pilih Bahasa

Penduduk sembilan pulau di Semporna dapat bekalan elektrik solar hibrid

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Kehidupan seharian penduduk kampung yang tinggal di sembilan pulau di Semporna kini berubah selepas pembekalan elektrik melalui Stesen Solar Hibrid (SSH) sudah mula beroperasi 24 jam.

Sebelum ini, kira-kira 400 rumah kampung menggunakan set generator sendiri bagi mendapatkan bekalan elektrik manakala selebihnya menggunakan lilin atau lampu pelita.

Stesen Solar Hibrid ini mampu membekalkan elektrik kepada 400 rumah di sembilan pulau di Semporna. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Pengurus Besar Penjanaan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jait Aziz berkata pada ketika itu tempoh mendapatkan bekalan elektrik amat terhad ekoran kos harga minyak yang tinggi .

“Kita ada sembilan stesen jana kuasa yang terletak di sembilan pulau dan bagi di Pulau Bait Satu ini, kita ada solar berkapasiti 260 kilowatt dan dua genset berkapasiti 200 kilowatt setiap satu.

“Setakat ini, stesen jana kuasa ini membekalkan tenaga elektrik kepada hampir 400 rumah di sembilan pulau dan ia dibina menggunakan dana kerajaan sepenuhnya,” katanya.

Pengurus Besar Penjanaan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jait Aziz melawat Stesen Solar Hibrid. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Stesen Solar Hibrid di Pulai Bait Satu, dekat sini, hari ini.

Antara pulau yang mendapat manfaat daripada sistem ini ialah Pulau Pebabag, Pulau Bait 1, Pulau Bait 2, Pulau Larapan, Pulau Omadal, Pulau Selakan, Pulau Sumandi, Pulau Denawan dan Pulau Menampilik.

Jelasnya dengan adanya tenaga solar hibrid ini, aktiviti penduduk kampung tidak lagi terbatas pada siang hari bahkan mereka kini boleh membuat pelbagai aktiviti pembelajaran dan perniagaan pada waktu malam.

Pengurus Besar Penjanaan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jait Aziz (enam dari kiri) bergambar bersama kakitangan SESB. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Semua stesen jana kuasa yang sudah siap ini akan beroperasi dengan baik supaya penduduk di kawasan pedalaman dapat menikmati bekalan elektrik yang stabil dan berterusan.

“Di Semporna sahaja, kita memerlukan RM4 juta setahun dalam mengoperasi dan menyelenggara tenaga solar hibrid,” jelasnya.

Setakat ini sebanyak 34 buah stesen solar hibrid di Sabah kini beroperasi dan membekalkan elektrik kepada pengguna khususnya di kawasan pulau-pulau terpencil.

Sementara itu seorang penduduk ketika ditemui Faridah Abu Kasim, 42, berkata keluarganya sebelum ini hanya bergantung dengan generator bagi mendapatkan elektrik melalui kutipan rm30 sebulan bagi setiap rumah.

Faridah Abu Kasim, Penduduk. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Sebelum adanya tenaga solar hibrid ini, kami menggunakan generator berkenaan yang hanya berfungsi pada pukul 6.30 petang hingga 11 malam sahaja manakala pada waktu siang tidak ada bekalan elektrik diperoleh.

“Tapi kini kami berasa ia lebih memudahkan setiap urusan kerja kerana tidak lagi menunggu pada waktu malam bahkan kami dapat bekalan elektrik dari pagi hingga malam,” katanya. – SabahNewsToday