Pilih Bahasa

Penelitian keanggotaan Warisan secara mendalam, mantapkan perjuangan parti

Oleh Alfred Petrus

Mohd Shafie (tengah) menjawab pertanyaan pemberita mengenai hala tuju Warisan di Ibu pejabat Warisan di Kolombong. – Gambar SNT/Ihsan JKM

KOTA KINABALU: Penelitian secara mendalam keanggotaan Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah penting dalam hala tuju dan perjalanan perjuangan parti tersebut.

Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata dengan penelitian tersebut, beliau berharap agar dapat memastikan kekuatan parti dapat dimantapkan.

“Tentang keanggotaan ini, penting kepada kita untuk diteliti secara mendalam bukan hanya pada jumlahnya tapi nilai ahli yang juga menjadi keutamaan kepada kita.

“Ini supaya mereka betul-betul ihklas dengan niat yang baik terhadap perjuangan parti dan bukan berlandaskan atau bersandarkan untuk sesuatu perkara semata-mata.

“Kita mahukan supaya kerajaan ini mampan serta perjuangan parti kita kukuhkan dan dapat kita jayakan,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas memperngerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Warisan di Ibu Pejabat Parti Warisan, Kolombong di sini hari ini.

Mohd Shafie Apdal (tengah) dalam sidang media di Ibu pejabat Warisan di Kolombong. – Gambar SNT/Ihsan JKM

Katanya dalam mesyuarat tersebut turut membincangkan tentang hala tuju parti serta pengurusan pentadbiran kerajaan negeri.

Tambahnya antara usaha Warisan untuk meramaikan penyertaan anggota parti adalah dengan meluluskan permohonan keahlian seluruh negeri.

“Setakat hari ini, kita telahpun meluluskan lebih 200,000 keahlian dan 50,000 permohonan lagi akan kita luluskan dalam masa terdekat.

“Kita harap dengan keahlian tersebut akan dapat memastikan supaya kekuatan parti dapat kita mantapkan,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata Warisan bakal mempunyai lebih 3,000 cawangan parti di 26 bahagian seluruh negeri pada masa akan datang.

“Sekarang ini kita sudah mempunyai lebih 600 cawangan seluruh negeri,” tambahnya. – SabahNewsToday