Pilih Bahasa

Penentuan ke final Liga Bola Sepak KDM Malaysia hari ini

KOTA KINABALU: Empat pasukan membuat perhitungan terakhir dalam perlawanan separuh akhir kedua hari ini bagi menentukan tempat ke final edisi kedua pertandingan liga kejohanan bola sepak Liga KDM Malaysia 2018-2019.

Pasukan Telupid memilih Stadium Likas sebagai venuenya, menanti kunjungan Kudat dengan sepak mula perlawanan pada jam 3.30 petang.

Selain kelebihan sebagai tuan rumah, Telupid juga akan memulakan aksi di hadapan dengan bekalan yang dibawa dari hasil kemenangan 1-0 di tempat lawan (Kudat) minggu lalu.

Jellysius Saimpon. Gambar Fail SNT

Selepas itu, Semporna pula menanti kunjungan Sepanggar dalam satu lagi perlawanan separuh akhir di Stadium Tawau yang sepak mulanya dijadualkan pada jam 8 malam.

Kedua-dua pasukan memulakan aksi pada kedudukan seimbang di mana pertemuan separuh akhir pertama mereka di Stadium Likas minggu lalu berkesudahan seri 1-1.

Bagaimanapun, jaringan di tempat lawan itu adalah kelebihan untuk Semporna selain dijangka bakal diiringi sokongan padu penyokong di halamannya sendiri malam ini.

Selain penentuan ke final, Sepanggar dan Semporna juga mengintai peluang memburu gelaran juara berganda kerana kedua-duanya juga adalah finalis pertandingan Piala FA kejohanan ini.

Sambil itu, Setiausaha Penganjur, Jellysius Saimpon berharap kedua-dua perlawanan separuh akhir itu akan berlangsung dengan lancar.

“Kita tahu ia adalah perlawanan yang genting dan penting bagi keempat-empat pasukan tetapi kita minta pasukan mainlah dengan semangat kesukanan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kejohanan itu adalah anjuran Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia Dan Sukan Sabah (KBSS).

Ia adalah kejohanan tempatan terbesar dengan hadiah keseluruhan ditawarkan bernilai lebih RM300,000.-SabahNewsToday