Pilih Bahasa

Penerbangan ihsan bawa jenazah Allahyarham Konstabel Mohd Naim ke Tawau

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Satu penerbangan ihsan bodevac membawa jenazah Konstabel Mohd Naim Ahmad Daud, 26, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Jambatan Sri Saujana, Putrajaya, khamis lalu, dihantar pulang ke Tawau, hari ini.

Penerbangan jam 12.30 tengah hari itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan tiba di Lapangan Terbang Tawau kira-kira jam 1.40 petang.

Mazli bersama pegawai IPK Sabah menyambut jenazah Allahyarham Mohd Naim untuk diterbangkan ke Tawau seterusnya ke kampung halamannya di Semporna.-Gambar SNT/Ihsan PGU Sabah

Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi berkata jenazah Allahyarham Mohd Naim sebelum itu tiba dari Kuala Lumpur menggunakan pesawat komersial.

“Jenazah kemudiannya diterbangkan ke Tawau melalui pesawat Cessna Caravan CE208 9M-PSQ milik PGU Pangkalan Sabah.

“Jenazah akan dihantar pulang ke kampung halamannya di Kampung Bangau-Bangau, Semporna, melalui jalan darat untuk majlis pengkebumian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jenazah Allahyarham Mohd Naim dibawa naik ke pesawat Cessna Caravan untuk dihantar ke Lapangan Terbangan Tawau.

Turut hadir menyambut ketibaan jenazah adalah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan bersama rombongan dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.

Allahyarham adalah anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya yang terbabit dalam kemalangan jalanraya pada 7 Mei lalu sewaktu dalam perjalanan untuk menjalankan tugas Op Covid-19

Selepas lima hari dirawat di Hospital Putrajaya, Konstabel Mohd Naim, disahkan meninggal dunia pada 12.05 pagi semalam. – SabahNewsToday