Pilih Bahasa

Penerbangan terakhir bawa pelajar IPT pulang Sabah pada 5 Jun

KOTA KINABALU, 20 Mei — Penerbangan terakhir membawa pulang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) Sabah dari Semenanjung dan Sarawak dijangka pada 5 Jun ini, kata Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob.

Beliau berkata kerajaan negeri komited memastikan kira-kira 11,000 pelajar IPT Sabah dapat dibawa pulang, namun ia perlu dilakukan secara berperingkat bagi memenuhi prosedur operasi standard demi menjamin keselamatan serta kesihatan mereka sekali gus membendung penularan COVID-19.

Dr Yusof bertanya sesuatu kepada petugas kesihatan yang menunggu ketibaan para pelajar di KKIA. Gambar SNT/Ihsan KPI

Buat masa ini, Yusof berkata tidak semua pelajar dapat dibawa pulang sebelum Hari Raya serta Pesta Kaamatan dan beliau berharap ibu bapa dan para pelajar terbabit memahami perkara berkenaan.

“Saya tahu memang ada yang merasa tidak puas hati tentang perkara ini. Kami (kerajaan negeri) telah mengkoordinasikan (proses membawa pelajar IPT pulang ke Sabah) dengan sebaiknya, namun kita perlu mempertimbangkan aspek keselamatan dan kesihatan bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan sekumpulan pelajar IPT pulang ke Sabah melalui penerbangan sewa khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Dr Yusof menyampaikan amanat kepada pelajar ketika menyambut ketibaan pulang mereka di KKIA. Gambar SNT/Ihsan KPI

Sebanyak empat penerbangan dari Kuala Lumpur dan Sarawak membawa pulang 1,027 pelajar IPT tiba di KKIA pada hari ini dan akan diikuti empat lagi penerbangan esok melibatkan 906 pelajar, manakala penerbangan seterusnya dijadualkan pada 27 dan 28 Mei ini sebelum penerbangan terakhir pada 5 Jun.

Yusof berkata kerajaan Sabah dan kerajaan Persekutuan bekerjasama membiayai kos penerbangan pelajar IPT terbabit dengan Sabah membelanjakan kira-kira RM2.7 juta bagi kos itu.

— BERNAMA