Pilih Bahasa

Penerbangan terus Guangzhou – Tawau mulai Julai ini

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Tawau bakal menerima lebih ramai kedatangan pelancong China menerusi penerbangan terus dari Guangzhou ke bandar itu bermula Julai hadapan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata pengumuman itu dibuat selepas syarikat penerbangan berpangkalan di Guangzhou, Dongfang International Travel Service merancang bagi mengadakan perkhidmatan penerbangan terus untuk tempoh setahun sehingga Julai 2020.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

Christina berkata perkhidmatan berkenaan sekaligus menjadi penerbangan sewa khas pertama ke Tawau.

“Penerbangan ini adalah bertepatan dengan perancangan kementerian akan melancarkan Cuti-Cuti Tawau yang sudah dipromosikan di Berlin.

“Kita juga sudah mengarahkan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) untuk memastikan pakej dan perkhidmatan pelancongan disediakan mampu menampung jumlah ketibaan pelancong kian meningkat.

“Dongfang International Travel Service juga sudah mengemukakan permohonan kepada syarikat penerbangan Hainan untuk kelulusan penerbangan, yang mana pesawat B737-800 akan dijadualkan terbang dua kali seminggu dari Guangzhou ke Tawau,” katanya ketika sidang media di Bangunan Dewan Undang Negeri (DUN) Sabah, dekat sini, hari ini.

Kapasiti tempat duduk bagi setiap penerbangan terdiri daripada lapan kelas perniagaan dan 154 kerusi penumpang kelas ekonomi. -SabahNews Today