Pilih Bahasa

Penerima bantuan meningkat, Jabatan Kebajikan Masyarakat digesa kajian lebih sistematik

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Datuk Jaujan Sambakong. – Gambar Fail SNT

SEMPORNA: Isu penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri ini yang semakin menunjukkan peningkatan perlu dikaji semula dengan lebih sistematik. 

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata ia berikutan bilangan penerima bantuan JKM semakin meningkat sekaligus menunjukkan masyarakat lebih bergantung kepada bantuan semata-mata tanpa berusaha mencari sumber pendapatan sendiri. 

“Kita lihat penerima bantuan ini ada yang masih mempunyai kesihatan fizikal dan mampu bekerja namun boleh mendaftar di kebajikan kerana tergolong sebagai bapa tunggal dan ibu tunggal sedangkan mereka masih boleh bekerja. 

“Sebab itu ianya makin meningkat sedangkan sebenarnya ia tidak dapat memberi bantuan dari segi membangun ekonomi individu itu sendiri kerana hanya mengharap duit yang kebajikan bagi tiap bulan sebanyak RM300,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Amanat Sempena Hari Kebangsaan di Majlis Daerah Semporna di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Pegawai Daerah, Bianus Kontong dan Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Tony Koh.

Jelasnya masyarakat perlu mencari idea keluar daripada kepompong kemiskinan dengan membuka perniagaan yang boleh memberi keuntungan kepada diri dan keluarga. 

“Kita boleh beri mereka bantuan ikut kemahiran yang mereka ada seperti menjahit bagi wanita. Yang penting dapat memperoleh pendapatan sendiri. 

“Kita risau jika perkara seperti ini berterusan akhirnya masyarakat Sabah dilabel sebagai bangsa tak diyakini, masyarakat tak bersaing dan masyarakat subsidi yang tak mahu kerja dan hanya bergantung kepada bantuan kebajikan sahaja,” tambahnya. 

Bagaimanapun beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulabayan berkata keadaan ini berlaku bukan disebabkan oleh kehendak pendaftar bantuan itu sebaliknya sistem JKM yang dilihat kurang berkesan dan perlu kajian menyeluruh.

“Bukan salah penerima bantuan ini kerana kalau ada penawaran, kenapa kita mahu menolak pula, sebab itu saya kata sistem yang salah dan bantuan JKM ini perlu kajian kerana dengan kemajuan negeri ini penerima sepatutnya berkurangan bukan makin bertambah,” katanya. – SabahNewsToday