Pilih Bahasa

Pengamal media berperanan ajak masyarakat tolak keganasan: Duta AS

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Pengamal media berperanan penting dalam mengajak orang ramai menentang sebarang aktiviti keganasan dan menamatkan konflik berkaitan ekstremisme menerusi laporan berita.

Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir berkata sebarang bentuk radikalisasi akan dapat dihentikan apabila orang ramai bersatu menyokong perjuangan yang membawa keharmonian dan keamanan sejagat.

Kamala Shirin (tengah) menerima cenderahati daripada Chamil Wariya selepas merasmikan penutupan bengkel kewartawanan MPI di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Ia sebenarnya adalah persoalan bagaimana sesebuah komuniti itu dapat bersatu untuk menghentikan konflik dan keganasan.

“Oleh itu peranan anda (pengamal media) adalah untuk membawa cerita kepada orang ramai agar mereka bersatu padu menentang keganasan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutupan Bengkel Peranan Media Dalam Membuat Liputan Mengenai Keganasan Ekstremism (CVE) dan Radikalisasi di sini hari ini.

Kamala Shirin. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Antara penceramah jemputan dalam bengkel itu ialah Timbalan Ketua Pengarah SEARCCT, Khairi Omar; Pegawai Turus Bahagian E8 Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asisten Komisioner, Mohamed Raby Abu Bakar dan Pengarah Bahagian Strategik dan Digital Komunikasi SEARCCT, Thomas Koruth Samuel.

Turut diundang adalah Pengarah Institut Komunikasi Global dan Diplomasi Awam Universiti George Washington, Prof Dr Janet Steele.

Kamala berkata pihaknya menyokong apa juga usaha dalam memastikan tindakan menentang keganasan dilakukan dengan cara yang paling berkesan.

Sementara itu, Chamil Wariya berkata penganjuran bengkel itu bertujuan mewujudkan satu platform dalam membincangkan mekanisme kerjasama antara media, masyarakat dan agensi kerajaan dalam menentang keganasan ekstremisme.

Chamil berkata ia adalah peluang kepada peserta membincangkan laporan berita berkaitan isu-isu dan ekstremisme.

Beliau berkata pengamal media perlu mengetahui pendirian mereka dalam menentang ekstremisme dan radikalisasi yang ganas serta melaporkan berita dengan tepat dan jujur.

Dalam bengkel itu, peserta turut dibawa melawat ke Lapang Sasar Lok Kawi dan mendengar taklimat daripada Pegawai Turus Bahagian Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear serta Letupan Nuklear (CBRNE) Unit Persenjataan PDRM Bukit Aman, Deputi Superitendan RaynerJaunis. – SabahNewsToday