Pilih Bahasa

Pengamal media dinasihatkan jaga keselamatan diri

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Pengamal media khususnya di Sabah dinasihatkan supaya tidak alpa faktor keselamatan dan sentiasa berwaspada dengan penularan wabak Covid-19 yang sudah meragut ribuan nyawa.

Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar berkata ini kerana wartawan, jurugambar dan jurukamera mampu terdedah dengan penularan wabak Covid-19 ketika bertugas di lapangan.

Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar

Katanya, aspek kesihatan seperti memakai topeng muka, membasuh tangan dan menggunakan alat sanitizer haruslah ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

“Ya, semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan langkah Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara selama 14 hari bermula esok.

“Seiring tugas wartawan yang mencabar, intitusi komunikasi dan penyiaran adalah berkecuali dalam sektor yang direhatkan pada tempoh berkenaan.

” Selaku persatuan yang bertanggungjawab, saya menyeru kepada rakan-rakan pengamal media di Sabah supaya meningkatkan aspek keselamatan dan kesihatan masing-masing, kita berdoa semuanya akan berlaku dengan baik,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Muguntan berkata, selain daripada dua aspek penting itu, pihaknya turut menasihatkan supaya pengamal-pengamal media lebih beretika ketika membuat liputan dan menyampaikan sesuatu berita terutamanya berkaitan penularan wabak Covid-19.

“Ini kerana cabaran media di Sabah berhadapan penyebaran berita-berita tidak sahih melalui sosial media seperti Facebook atau aplikasi WhatsApp yang mampu mempengaruhi rutin harian masyarakat awam.

“Secara umumnya, rakyat Sabah perlu tahu, kumpulan pengamal media di sini harus memainkan peranan penting dalam hebahan berita yang tidak mencetuskan panik atau kegusaran di kalangan masyarakat khususnya pada ketika ini.

“Sehubungan itu, adalah amat penting buat pengamal media di Sabah mendapatkan kerjasama rapat dengan mana-mana pihak berwajib, seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah bagi menyebarkan sebarang perkembangan sahih mengenai Covid-19 dari semasa ke semasa, “katanya.

Tambah beliau lagi, pihak berwajib juga diminta untuk bekerjasama dengan baik kepada pengamal media bagi mengemaskini status terkini mengenai senario semasa Covid-19 untuk dihebahkan secara telus kepada rakyat jelata. -SabahNewsToday