Pilih Bahasa

PENGAMAL UNDANG-UNDANG SABAH KECEWA VIDEO KETUA HAKIM MENARI ‘TWIST’ DIPOLITIKKAN

Oleh Chris Maskilone

Screengrab dari video tersebut. Gambar SNT/sumber media sosial

KOTA KINABALU: Pengamal undang-undang Sabah kecewa dengan tindakan pihak tertentu mempolitikkan video ketua badan kehakiman negara menari “twist” dengan ahli badan eksekutif dan pengamal undang-undang.

Presiden Sabah Law Society (SLS) Brenndon Keith Soh turut kesal dengan tuduhan bahawa video klip yang dirakam semasa majlis makan malam sempena pembukaan Tahun Perundangan 2019 Sabah dan Sarawak malam semalam di sini menjejaskan imej dan integriti badan kehakiman.

Brenndon Keith Soh. Gambar Fail SNT

Antara mereka yang membuat kritikan setelah video klip tersebut tular di media sosial adalah Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Parlimen PKR Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mereka dilaporkan berkata tindakan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara Tommy Thomas menari “twist” dengan para jemputan lain dalam majlis tersebut “menjejaskan imej keberkecualian” badan kehakiman.

“Sejak dahulu lagi, badan kehakiman dan institusi perundangan amat sensitif dengan apapun acara sosial terutamanya kalangan hakim disebabkan ianya boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap etika, integriti dan moral mereka,” kata Asyraf.

Nik Nazmi pula menekankan bahawa badan kehakiman dan eksekutif harus menunjukkan imej kesaksamaan dan integriti institusi dalam setiap majlis rasmi.

Namun Brenndon berkata majlis tersebut adalah acara santai tradisi bagi Sabah dan Sarawak yang diadakan selepas acara perarakan rasmi dan penuh istiadat sempena Pembukaan Tahun Perundangan 2019 pada pagi hari yang sama.

Kedua, ianya adalah majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh pihak berkepentingan dalam perundangan iaitu ahli-ahli badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara serta para peguam.

“Ketiga, acara anjuran bersama badan kehakiman dan peguam ini bermula sejak tahun 2001 lagi dan ianya adalah simbol kematangan masyarakat pengamal undang-undang di sini,” katanya.

“Maka itu, tidak sepatutnyalah ada pihak-pihak tertentu cuba untuk mempolitikkan majlis yang telah berlangsung dengan penuh gembira dan harmoni ini yang juga mencerminkan hospitaliti kita di Malaysia Timur,” katanya.

Brenndon berkata ia amatlah menyedihkan sekiranya pengamal undang-undang berasa tertekan untuk bersantai di acara-acara tahunan mereka disebabkan tuduhan tidak berasas ini.

“Walau bagaimanapun kita percaya masyarakat cukup matang dan memahami bahawa individu-individu di dalam video tersebut adalah profesional dan arif dalam membezakan yang mana satu hal kerja dan peribadi,” ujar Brenndon.

Dalam klip video itu antara yang turut kelihatan menari lagu “Lets Twist Again” nyanyian Chubby Checker di atas pentas ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri Wong Dak Wah, peguam dan juga aktivis Dato’ Ambiga Sreenevasan serta Siti Zabedah Kasim.-SabahNewsToday