Pilih Bahasa

PENGAMBILALIHAN SESB: PERSATUAN MOHON KEBAJIKAN WARGA KERJA DIJAGA

LOGO SESB. – Gambar Fail SNT

KOTA KINABALU, 18 Mac (Bernama) — Kesatuan Pekerja-Pekerja Sabah Electricity Sdn Bhd (KPPSESB) menyokong penuh pengambilalihan SESB oleh kerajaan negeri daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) namun mahu beberapa faedah yang dinikmati oleh pesara serta pekerja dikekalkan.

Presidennya Azhar M.Y Ahmad berkata antara faedah terbabit ialah perubatan.

“Pada 1998, SESB ketika itu Lembaga Letrik Sabah diswastakan dan diambil alih oleh TNB. Secara automatik kami yang merupakan penjawat awam ketika itu dibersarakan. Namun, faedah kebajikan yang diterima pada waktu itu terus diberikan TNB kepada kami sehingga ke hari ini dan faedah itu tidak diganggu.

“Justeru, kami berharap faedah seperti perubatan yang diterima sebelum ini dikekalkan demi kebajikan warga SESB termasuk pesaranya selepas kerajaan negeri mengambil alih SESB,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertuan Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, di sini hari ini.

Mengenai kunjungan hormat itu, Azhar berkata ia bagi memaklumkan kepada Juhar mengenai pengambilalihan SESB oleh kerajaan negeri, sokongan mereka terhadap usaha tersebut serta harapan mereka setelah SESB diambil alih.

Beliau berkata KPPSESB sebelum ini telah menyerahkan dokumen tuntutan tersebut kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Hashim Paijan.

Pada Januari lepas, kerajaan persekutuan secara prinsipnya bersetuju memulangkan semula hak pemilikan SESB kepada kerajaan negeri dalam tempoh dua tahun sebagai langkah mengoptimumkan kedudukan kewangan dan teknikal syarikat utiliti itu.

Kerajaan negeri Sabah juga akan membentuk jawatankuasa khas diwakili kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bagi memperinci transisi pengambilalihan SESB daripada TNB.

Sementara itu, Juhar hari ini turut menerima kunjungan hormat Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum yang menyampaikan jemputan rasmi kepada beliau bagi menyempurnakan majlis pembukaan bangunan baharu Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada 2 April depan.

Turut serta dalam kunjungan itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah.

Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu beroperasi sepenuhnya pada September lalu selepas pembinaan bangunan ikonik setinggi enam tingkat itu siap pada April.

— BERNAMA