Pilih Bahasa

Penganjur perlu bijak tarik orang ramai sertai program kesedaran salahguna dadah

Frankie Poon. – Gambar fail SNT

SANDAKAN, 10 Ogos (Bernama) — Penganjur program-program kesedaran penyalahgunaan dadah perlu bijak menarik perhatian orang ramai untuk menyertai program berkenaan dalam zaman serba canggih, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon hari in

Menurutnya masalah penagihan dadah kini menular dengan pelbagai kecanggihan, khususnya dalam kalangan remaja.

“Kita sedia maklum bahawa masalah penagihan dadah kian menular tanpa mengira suku kaum,  keturunan, kedudukan ataupun latar belakang, tua dan muda mahupun golongan profesional juga terlibat.

“Dalam zaman yang semakin canggih ini, kaedah-kaedah untuk mendapatkan  bekalan dadah juga agak mudah, dengan hanya menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) atau servis kurier,” katanya.

Poon, yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Sabah, berkata demikian ketika menutup Program Damai anjuran Biro Hal Ehwal Wanita Pemadam Negeri dan Biro Hal Ehwal Wanita Pemadam Perbandaran Sandakan di sini hari ini.

“Oleh itu, saya berharap masyarakat tidak mensia-siakan peluang yang diberikan untuk menambah ilmu menerusi program seperti Program Damai ini dan bolehlah dikongsikan dengan mereka yang tidak berkesempatan untuk menghadiri program seperti ini,” katanya.

— BERNAMA