Pilih Bahasa

Penganjuran Hari Kemerdekaan tingkatkan semangat patriotisme rakyat

Jaujan (empat kanan) melancarkan konvoi merdeka ketika di majlis berkenaan. – Gambar SNT/Ihsan KPKT

SEMPORNA: Peningkatan usaha meraikan sambutan Hari Kemerdekaan setiap tahun berjaya menanam semangat patriotisme dalam kalangan rakyat negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata penganjuran acara seumpamanya perlu mempunyai perubahan dan peningkatan setiap tahun.

“Sudah tentu rakyat tidak hanya mahu lihat perkara yang sama setiap tahun. Peningkatan dari segi susun atur program perlu ada untuk membolehkan kehadiran orang awam ke sambutan acara tersebut.

“Ini bermakna orang ramai suka apa yang dibuat dan berharap program seumpamanya dapat diteruskan dan saya yakin ia akan lebih meriah serta dapat santuni hati rakyat agar cintakan negara,” katanya ketika ditemui pada majlis Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di sini hari ini.

Jaujan (tengah) meletakkan Jalur Gemilang pada sebuah kenderaan sempena program Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang. – Gambar SNT/Ihsan KPKT

Beliau berkata, rakyat yang keluar beramai-ramai untuk menyemarakkan Jalur Gemilang semakin memahami bahawa semangat patriotik itu penting untuk mendaulatkan kemerdekaan negara ini.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berharap keadaan seumpamanya dapat menjadi satu penyatuan kepada rakyat di Malaysia.

“Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia adalah satu perayaan besar kepada kita sebagai rakyat Malaysia.

“Kita bersyukur pimpinan dahulu dapat memerdekaan negara kita dan generasi hari ini harus sentiasa mengingati Hari Kebangsaaan ini,” katanya.

Jaujan (dua dari kiri) menyerah Jalur Gemilang kepada orang ramai di Pekan Semporna. – Gambar SNT/Ihsan KPKT

Menurutnya, kerajaan juga menggalakkan masyarakat bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang .

Selain itu katanya, golongan kurang bernasib baik turut diraikan bersama dengan mengadakan lawatan ke rumah mereka.

“Kita tidak akan membiarkan rakyat terpinggir dalam apa juga keadaan, inilah matlamat kepimpinan kerajaan terdahulu dan hari ini agar rakyat diberikan keutamaan,” katanya. – SabahNewsToday