Pilih Bahasa

Penganjuran pertandingan Bontugan Songkotoun martabat lagu etnik malar segar

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Ewon (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan Bontugan Songkotoun peringkat negeri 2019 di Penampang. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

PENAMPANG: Penganjuran pertandingan nyanyian lagu etnik malar segar atau Bontugan Songkotoun adalah inisiatif terbaik dalam usaha memelihara serta mempromosikan seni muzik tempatan di negeri ini. 

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata masyarakat masa kini khususnya generasi muda tidak seharusnya melupakan lagu-lagu lama yang sudah sekian lama dicipta.

Ewon berkata peranan penyanyi-penyanyi veteran untuk terus mempertabatkan lagu seumpama ini harus dipuji serta dihargai kerana tanpa sumbangan mereka mungkin proses memperkembangkan dan mempromosikan lagu ciptaan lama itu akan terhenti.

“Wajar sekiranya penggiat seni veteran yang masih aktif ini diberikan penghargaan serta pengiktirafan agar menjadi pembakar semangat mereka untuk terus berkarya.

“Kita berharap usaha penganjuran pertandingan bagi golongan veteran ini akan sentiasa diadakan kerana ia bukan sahaja membuka peluang kepada penyanyi senior namun secara tidak langsung member inspirasi kepada penyanyi muda untuk turut menyanyikan lagu seumpama itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Bontugan Songkotoun di dewan terbuka Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini semalam.

Ewon berkata kerajaan negeri akan terus komited dalam memastikan sambutan perayaan etnik di negeri ini sentiasa ditambahbaik agar kekal relevan.

Beliau berkata sambutan perayaan seperti Pesta Kaamatan bukan hanya keramaian semata-mata tetapi mampu mengajar masyarakat bersyukur, bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain.

Menurutnya, bersesuaian dengan tema “Kaamatan Wadah Penyatuan Budaya Bangsa”, perayaan etnik member peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk berkumpul tanpa mengira agama, bangsa dan kepercayaan sekaligus mengeratkan hubungan antara sesame etnik yang terdapat di Sabah. – SabahNews Today