Pilih Bahasa

Penganjuran sukan larian ditambahbaik untuk keselamatan peserta

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kualiti acara sukan larian dapat ditambahbaik dengan adanya mekanisme baharu dan lebih dinamik bukan hanya untuk kegunaan tetapi juga manfaat kepada penggiat serta penggemar aktiviti tersebut.

Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe berkata untuk memperolehi informasi lengkap dalam penganjuran sukan itu sudah tentunya memerlukan idea bernas daripada pakar-pakar dalam bidang berkenaan.

Arunarnsin (tengah) menerima cenderahati daripada wakil penganjur sempena Konvensyen Larian Pertama Malaysia di Fakulti Psikologi dan Pendidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS). – Gambar SNT/Ihsan UMS

Menurut Jin Zhe lagi pakar nutrisi, fisiologi, jurulatih sukan dan doktor boleh berkongsi ilmu dalam dunia sukan larian menerusi program, persidangan atau konvensyen bagi mengetengahkan pengetahuan masing-masing sebagai panduan.

“Saya difahamkan bahawa konvensyen ini merupakan program pertama yang menghimpunkan pakar nutrisi, fisiologi, doktor dan jurulatih sukan berpengalaman untuk berkongsi ilmu dalam dunia sukan larian.

Arunarnsin berucap mewakili Menteri KBS pada Konvensyen Larian Pertama Malaysia di Fakulti Psikologi dan Pendidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS). – Gambar SNT/Ihsan UMS

“Konvensyen Larian Malaysia ini akan mengetengahkan variasi topik berkaitan sukan larian seperti aspek sains yang terlibat seperti nutrisi, fisiologi, biomekanik dan risiko kecederaan sukan,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Larian Pertama Malaysia di Fakulti Psikologi dan Pendidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Arunarnsin Taib.

Arunarnsin (tengah) bergambar bersama peserta Konvensyen Larian Pertama Malaysia di Fakulti Psikologi dan Pendidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS). – Gambar SNT/Ihsan UMS

JIn Zhe berkata selaku menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal sukan negeri beliau berbangga dengan usaha yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, Persatuan Larian Berhalangan Negeri Sabah dan UMS.

Beliau berkata kementeriannya melalui MSN negeri akan terus memberikan sokongan kepada persatuan larian berkenaan untuk menjalankan aktiviti di negeri ini.

“Saya berharap penganjuran ini akan menjadi satu petanda kepada kerjasama lebih erat di antara Persatuan Larian Berhalangan Negeri Sabah PFRC dalam usaha penganjuran program lebih besar di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

“Selain itu akan terus bersama-sama menganjurkan konvensyen inikerana ia sangat bermanfaat untuk semua serta generasi akan datang,” katanya. – SabahNewsToday