Pilih Bahasa

PENGAWAL KESELAMATAN DITAHAN AKIBAT PUKUL, CEDERAKAN ISTERI

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Suspek yang ditahan polis kerana memukul dan mencederakan isterinya menggunakan ekzos motosikal. – Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

LAHAD DATU: Seorang pengawal keselamatan ditahan pihak berkuasa di sebuah rumah kongsi pekerja di Ladang Matamba, Jalan Tungku, di sini semalam kerana dipercayai mencederakan dan memukul isterinya bertubi-tubi menggunakan ekzos motosikal.

Suspek, 29, yang melarikan diri dari rumahnya di Ladang Bagahak 2, Tungku pada Rabu berjaya ditangkap sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Lahad Datu kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata isteri suspek, 36 tahun, membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Lahad Datu pada pukul 11.05 pagi semalam.

Ekzos motosikal yang digunakan suspek memukul mangsa. – Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

Menurut Nasri kejadian itu berlaku pukul 3.30 petang pada Rabu ketika suspek memarahi anak-anaknya yang berselisih faham antara satu sama lain. 

“Mangsa cuba mempertahankan anak-anaknya, namun tindakannya itu menimbulkan kemarahan suspek lalu memukul belakangnya beberapa kali. Kemudian mangsa melarikan diri dengan membawa anak-anaknya ke rumah ketua kampung untuk mengadu.

“Suspek yang mengetahui perkara itu kemudian memukul serta menumbuk di bahagian muka dan badan mangsa bertubi-tubi hingga menyebabkan kecederaan kedua-dua mata, lengan dan pecah di bahagian bibir mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Nasri berkata ketua kampung cuba meleraikan pergaduhan tersebut kemudian melaporkan kejadian itu kepada pihak majikan suspek sekaligus menyebabkan dia digantung kerja oleh majikannya.

Sebelum ini, katanya mangsa juga sering dipukul oleh suspek namun tidak pernah melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

Nasri berkata polis turut merampas ekzos yang digunakan untuk memukul mangsa dan suspek ditahan mengikut Seksyen 324/326A Kanun Keseksaan – SabahNewsToday